MBKT perlu peruntukan hampir RM100 juta selesai banjir kilat
KUALA TERENGGANU: Peruntukan hampir RM100 juta diperlukan untuk pembinaan kolam takungan bagi menyelesaikan masalah di lima lokasi 'hot spot' banjir dalam kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT). Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif, berkata lima lokasi kerap berlaku banjir adalah di Taman Alamanda, Taman Seri Intan, Kuala Ibai, Kampung Atas Tol dan di Taman Permint Perdana di Seberang Takir. Katanya, MBKT akan berkolaborasi dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memohon peruntukan termasuk daripada Kerajaan Pusat bagi pembinaan kolam takungan untuk menyelesaikan masalah banjir di lima lokasi banjir. "Kita memerlukan peruntukan RM95 juta untuk pembinaan kolam takungan bagi menyelesaikan masalah banjir di lima kawasan berkenaan. Permohonan untuk mendapat peruntukan daripada Kerajaan Pusat sudah dibuat," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Rosli berkata demikian ketika mengulas persiapan dilakukan MBKT sebagai persiapan menghadapi kemungkinan berlaku banjir pada Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku November depan. Ketika mengulas kerja pembersihan longkang dan parit, Rosli berkata, kerja berkenaan dilakukan secara berkala setiap masa. Katanya, JPS juga turut melakukan kerja pembersihan parit besar bagi menyelesaikan masalah air bertakung yang menjadi punca utama banjir kilat. "Setakat ini, kita dan JPS menggunakan peruntukan jabatan untuk melakukan kerja pembersihan parit dan longkang besar," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2024/10/1305785/mbkt-perlu-peruntukan-hampir-rm100-juta-selesai-banjir-kilat
|