Tekanan tempat kerja: Lebih 40,000 kakitangan awam berisiko alami isu kesihatan psikologi
free image upload no registration
KUCHING: Lebih 40,000 kakitangan awam di negara ini berisiko tinggi mengalami isu kesihatan psikologi berikutan kegagalan mereka menangani tekanan di tempat kerja. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata data itu adalah hasil dapatan Sistem Profiling Digital Kesihatan Psikologi Pegawai Perkhidmatan Awam (MyPsyD) yang dilaksanakan dari 1 Mac hingga September lalu. Katanya, proses pelaksanaan secara berperingkat itu membabitkan semua kementerian dan agensi seluruh negara serta hampir sejuta kakitangan awam. "MyPsyD antara inisiatif terkini kerajaan untuk meningkatkan program pencegahan tingkah laku berisiko mengalami masalah kesihatan psikologi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Kesejahteraan Psikologi 2024 (ICOPW), di sini, hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim; Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Ahmad Nadzri Mohd Hassan; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Tan Sri Sulong Matjeraie; Presiden Pusat Pertahanan Nasional, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali dan Timbalan Naib Canselor UNIMAS, Prof Dr Siti Noor Linda Taib. Lebih 200 pakar psikologi Asia Tenggara termasuk Indonesia, Brunei, Myanmar dan Malaysia menghadiri persidangan dua hari anjuran bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan UNIMAS itu. Wan Ahmad Dahlan berkata profil MyPsyD penting untuk setiap penjawat awam kerana ia bertindak sebagai indikator individu dan organisasi supaya lebih cakna dalam merangka strategi melalui pembangunan kendiri pencegahan dan intervensi yang bersasar bagi menyantuni serta melestarikan kesejahteraan pegawai awam. "Kakitangan awam yang dikenalpasti berisiko tinggi mengalami isu kesihatan psikologi memerlukan intervensi segera bagi mengelakkan mereka daripada menghidapi kecelaruan mental. "Berdasarkan keperluan semasa dalam bidang intervensi, pencegahan, pemulihan dan penyelidikan, maka persidangan ini diadakan. Diharap ia berupaya untuk membantu pembentukan landskap kesihatan mental yang lebih baik," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1305376/tekanan-tempat-kerja-lebih-40000-kakitangan-awam-berisiko-alami-isu
|