YANGON, 13 Mac - "Yang penting kami akan pastikan bawa balik 3 mata ke Kota Bharu." Itu kata-kata dari dua pemain utama pasukan Kelantan, Badhri Radzi dan Khairul Fahmi Che Mat semasa ditemuramah sebelum perlawanan bermula jam 6.30 petang waktu tempatan tadi. Mereka menunaikan janji apabila Kelantan menang bergaya ke atas Ayeyawady United 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Youth Training Center Yangon.
Piya menjaringkan gol pertama Kelantan hasil daripada sepakan percuma beliau seawal minit ke 2. Perlawanan berlangsung dengan rancak dengan kedua-dua pasukan berbalas-balas serangan sehingga tamat separuh masa pertama.
Separuh masa ke 2 juga berlangsung dalam tempo yang sama. Kelantan lebih rancak melancarkan serangan yang kemudiannya berjaya mendapatkan gol ke 2 pada minit ke 53 oleh Dimitri Petratos setelah menerima hantaran daripada Dickson Nwakaeme.
Ayeyawady yang tertekan apabila ketinggalan 2 gol terus membuat beberapa percubaan berbahaya dan percubaan mereka pada minit ke 80 berjaya menghasilkan gol tunggal Ayeyawady.
Walau bagaimanapun, Kelantan tidak menunggu lama untuk membalas jaringan tersebut apabila Dimitri sekali lagi membolosi gawang lawan seminit selepas itu untuk menjadikan kedudukan hingga akhir perlawanan Kelantan 3, Ayeyawady 1. |