Gara-gara melancarkan 'serangan' di media sosial, organisasi memutuskan untuk melucutkan mahkota dan gelaran Miss Malaysia World yang disandang Tatiana Kumar Nandha.
Foto: The Star/NST
Pengumuman itu dibuat melalui akaun Instagram organisasi berkenaan, (@miss_world_malaysia), semalam.
Entri itu ditandantangani bekas pengarah kebangsaan Datuk Anna Lin menyatakan Tatiana, 18, telah melanggar tatacara dan kontrak.
Menggantikan tempat Tatiana, naib juara Shweta Sekhon, 19, dinobatkan sebagai Miss Malaysia World 2016/17 yang baru.
Foto: IG Miss World Malaysia
Memetik laporan The Star, Anna mengatakan Tatiana dan keluarganya memuat naik beberapa entri berunsur serangan terhadap organisasi Miss World Malaysia di internet dan media sosial.
"Ada formaliti tertentu yang harus dipatuhi, namun Tatiana telah membuat pelanggaran membabitkan penaja penting, sekali gus menyebabkan kontrak ditamatkan," katanya.
Isnin lalu, bapa Tatiana, Kumar Nandha, mengesahkan surat rasmi pelucutan gelaran itu telah diserahkan kepada anaknya melalui e-mel pada 3 Mac.
"Dia tidak melakukan sesuatu yang salah," kata Kumar melalui telefon itu tetapi enggan mengulas lanjut.
Menyandang gelaran Miss Malaysia World 2016/17 pada Ogos tahun lalu, Tatiana mewakili Malaysia di persada dunia dalam peringkat akhir di Maryland, Amerika Syarikat Disember lalu. - CARI |