Menurut Zul, sebelum ini dia telah menandatangani satu perjanjian yang mengikatnya sebagai duta dan rakan kongsi bermula Mac hingga November tahun lalu untuk produk keluaran jenama berkenaan.
“Saya memang tidak mengeluarkan sebarang modal tetapi saya memberikan sepenuh komitmen terhadap tempoh promosi yang telah dipersetujui bersama termasuk menjalani penggambaran di luar negara.
“Sehingga ke hari ini, saya langsung tidak menerima sebarang bayaran sewajarnya sedangkan saya mematuhi kontrak yang ditetapkan,” katanya.
Zul berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran kempen Carousell, sebuah aplikasi jual beli atas talian di The Curve, Mutiara Damansara, di sini hari ini.
Tambah pelakon J Revolusi itu, disebabkan berhadapan masalah tersebut, dia berasa serik untuk berkolaborasi dengan mana-mana jenama produk kerana tidak mahu sejarah berulang kembali.
“Itu merupakan kali pertama saya membabitkan diri dalam bidang perniagaan selaku rakan kongsi, namun malang menimpa saya,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE