Hero pujaan ramai, pelakon filem aksi Steven Seagal yang kini menetap di Rusia menghadapi tuduhan merogol dan mendera beberapa wanita.
Beliau bagaimanapun tidak pernah memberikan sebarang komen dan selama ini menyembunyikan diri daripada wartawan.
Namun, Seagal yang dipercayai terdesak untuk mempromosikan filem terbarunya Attrition, akhirnya mula menjawab temu bual dengan wartawan.
Bagaimanapun, temu bual wartawan BBC Newsnight dengan Seagal itu tidak berakhir dengan baik apabila beliau tiba-tiba menamatkan wawancara selepas ditanya tentang tuduhan penderaan seksual dan gerakan anti-keganasan #MeToo di Amerika Syarikat.
Kredit foto: Getty Images
Seagal kelihatan merah padam apabila wartawan Kristy Wark bertanya "Di Amerika Syarikat, kamu menghadapi beberapa tuduhan merogol dan mendera wanita. Bagaimana kamu menanganinya?"
Sejurus mendengar soalan itu, Seagal membuka fon telinganya dan meninggalkan kerusinya. Bagaimanapun, beliau terlupa menanggalkan mikrofonnya jadi perbualan selepas itu masih boleh didengar penonton.
Kredit foto: Twitter
'Hello, hello' kata Kristy cuba mendapatkan maklum balas tetapi Seagal sudah berlalu pergi. Kristy kemudian meneruskan rancangan itu dengan mengatakan Steven menafikan semua tuduhan terhadapnya.
Kredit foto: Metro.co.uk
Steven Seagal menghadapi tuduhan salah laku seksual daripada beberapa pelakon Hollywood terkenal antaranya Julianna Margulies dan Portia de Rossi.
Pada Mac tahun lalu, seorang wanita menuduh Seagal merogolnya sekitar tahun 1990-an. Manakala, Portia de Rossi pula mendakwa Steven memaksanya duduk di atas ribanya dan membuka zip seluarnya.
Beberapa wartawan wanita juga melaporkan dijemput Seagal untuk 'sesi peribadi' di kamarnya.
Pada September 2018, pihak polis Los Angeles mengatakan tidak akan mendakwa Seagal kerana semua tuduhan terhadapnya sudah lama berlalu. - CARI |