Polis menolak andaian yang mengatakan terdapat unsur cubaan rogol dalam kejadian di mana pelajar perempuan dicekik dan mulutnya disumbat pasir oleh seorang lelaki.
Harian Metro melaporkan, kejadian berlaku di perhentian bas Taman Seri Neting, Pengkalan Kubor di Tumpat, semalam sebelum mangsa menggigit jari suspek yang kemudian melarikan diri.
Kredit foto: Harian Metro
Difahamkan, ketika kejadian mangsa sedang menunggu bas seorang diri untuk ke sekolah di Pasir Pekan pada jam 6.30 pagi sebelum didatangi lelaki tidak dikenali dari arah belakang dengan menunggang motosikal.
Lelaki itu kemudian menarik mangsa hingga terjatuh sebelum mencekik leher remaja perempuan berkenaan.
“Suspek menarik kepala mangsa dan menyembamkannya ke pasir sebelum memasukkan pasir ke dalam mulut menyebabkan remaja itu melawan dengan menggigit jari suspek," kata Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Ab Rashid Mat Daud.
Tambahnya, suspek yang kesakitan melepaskan mangsa sebelum melarikan diri dengan motosikalnya.
Kejadian menyebabkan mangsa mengalami lebam di leher kanan sebelum membuat laporan di Balai Polis Simpangan.
Menurut Ab Rashid, pihaknya sedang mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. - CARI |