Singapura mengekalkan status sebagai bandar raya paling mahal di dunia. Kredit foto: Carian Google
Singapura, Hong Kong dan Paris dinamakan sebagai bandar raya yang paling mahal untuk dikunjungi dan didiami di dunia seperti yang dilaporkan dalam Kaji Selidik Kos Sara Hidup Seluruh Dunia 2019 oleh Economist Intelligence Unit (EIU).
Memetik laporan Yahoo! News pada 19 Mac, ini merupakan kali pertama tiga bandar berkongsi tempat pertama bagi kategori tersebut sejak kaji selidik berkenaan dimulakan kira-kira 30 tahun lalu.
Singapura mengekalkan kedudukannya dalam kaji selidik yang sama tahun lalu manakala Paris naik satu tangga dari tempat kedua dan Hong Kong melonjak tiga tangga dari tempat keempat.
Kos sara hidup di Hong Kong semakin mahal, meletakkannya setaraf dengan Singapura. Kredit foto: Carian Google
Zurich yang menduduki tempat kedua tahun lalu jatuh ke tangga keempat manakala Geneva dan Osaka berkongsi tempat kelima.
Enam bandar raya tersebut adalah lebih mahal berbanding New York, Seoul dan Copenhagen yang berkongsi tangga ketujuh manakala tempat ke-10 pula dikongsi oleh Tel Aviv dan Los Angeles.
Walaupun empat bandar raya paling mahal di dunia terletak di Asia, benua itu turut menempatkan bandar raya - bandar raya termurah dan memberikan nilai terbaik untuk wang seperti Bangalore, Chennai, New Delhi dan Karachi.
Paris berkongsi reputasi sebagai bandar raya paling mahal di dunia bersama Singapura dan Hong Kong. Kredit foto: Carian Google
Kaji selidik itu merangkumi sebanyak 133 bandar raya di seluruh dunia dengan membandingkan lebih 400 harga melibatkan sebanyak 160 barangan dan perkhidmatan di setiap bandar.
Antara barangan dan perkhidmatan yang dinilai adalah makanan, minuman, pakaian, peralatan rumah, barangan penjagaan diri serta sewa rumah dan kenderaan.
Nampaknya Kuala Lumpur masih belum disenaraikan dalam kalangan 10 bandar raya paling mahal di dunia meskipun ramai penduduknya mengeluh tentang kos sara hidup yang semakin meningkat saban tahun. - CARI |