Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan merakam gambar dalam mahkamah ketika prosiding berlangsung seperti didakwa laporan media.
Sinar Harian melaporkan, mantan Perdana Menteri itu sebaliknya mendakwa menggunakan telefon bimbit beliau sebagai cermin untuk memeriksa penampilannya.
Kredit foto: Yahoo News Singapore
Isu itu dibangkitkan pendakwa 'ad hoc' Datuk V. Sithambaram yang meminta mahkamah mengeluarkan perintah atau garis panduan berikutan laporan media meluas mengenai Najib yang dikatakan merakam gambar ketika perbicaraan berlangsung.
Sejurus itu, ketua peguam bela Najib, Tan Sri Shafee Abdullah berdiri mengatakan laporan berkenaan dikeluarkan laman The Edge dan menuding jari ke arah pemberita yang duduk di galeri awam.
"Dari tempat dia duduk, dia seolah-olah dapat menyimpulkan bahawa Najib mengambil swafoto dan mengatakan Najib kelihatan sedih dari belakang (Najib duduk dalam kandang tertuduh dan pemberita melihatnya dari belakang)," katanya yang menegaskan laporan itu tidak masuk akal dan tidak mempunyai nilai berita.
Shafee mendakwa dia sudah bertanyakan anak guamnya dan Najib mengakui tidak merakam sebarang gambar, sebaliknya menggunakan telefon bimbitnya sebagai cermin selepas merasakan ada sesuatu yang tajam di keningnya.
Hakim Mohd Nazlan kemudian menerima penjelasan diberi Najib dan mengingatkan semua pihak mengenai larangan merakam sebarang gambar atau video dalam mahkamah. - CARI |