Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Kredit foto: Facebook
Kegagalan Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjalankan tanggungjawabnya dengan berkesan dikatakan menjadi salah satu punca parti itu gagal mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai.
Kecaman terbuka terhadap Menteri Belia dan Sukan itu disuarakan oleh Ketua Armada Bersatu Terengganu, Syaiful Irfan Anang melalui laman Facebook miliknya pada 16 November.
Katanya, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak patut dipersalahkan atas kekalahan itu kerana Syed Saddiq yang sebenarnya gagal memanfaatkan jentera Pemuda PH untuk memainkan peranan yang besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
"Ketua Pemuda PH tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik sebagai ketua sayap kepada gabungan empat parti apabila gerak kerja dan mobilisasi bagi jentera Pemuda PH berada pada tahap yang sangat lemah.
"Walhal Pemuda PH seluruh Malaysia menunjukkan semangat yang tinggi untuk berbakti namun kepimpinan memperlihatkan kelemahan di dalam sistem tadbir urus dan berorganisasi," jelasnya.
Syaiful Irfan Anang. Kredit foto: Facebook
Beliau turut menyatakan bahawa pengundi di Tanjung Piai tidak mengundi PH berikutan hubungan yang keruh antara Syed Saddiq dan istana Johor.
"Rakyat Johor telah memilih untuk tidak mengundi PH juga kerana pelbagai isu yang terpalit dengan beliau yang masih tidak dapat diselesaikan dengan baik terutama isu yang melibatkan Istana Johor," katanya.
Tun Dr. Mahathir Mohamad dan calon PH, Karmaine Sardini. Kredit foto: Facebook
Syaiful Irfan menjelaskan, semua pihak mengetahui bahawa rakyat Johor sangat sinonim dengan gagasan 'bangsa Johor' dan rapat dengan institusi diraja yang berperanan sebagai payung kepada agama dan bangsa.
Sementara itu, Syed Saddiq melalui entri Twitter miliknya pada 16 November meminta maaf atas segala kelemahannya berhubung PRK Parlimen Tanjung Piai.
">
Sewajarnya semua pemimpin dalam PH memikul bersama beban kekalahan di Tanjung Piai dan bukan meletakkannya pada bahu Dr. Mahathir seorang sahaja. - CARI |