Pelakon Fikry Ibrahim menafikan dakwaan dia sudah menghantar rombongan merisik dan bakal berkahwin dengan penyanyi Siti Nordiana atau Nana pada tahun hadapan.
Fikry juga dikatakan sudah menghantar cincin merisik kepada Siti Nordiana secara senyap.
Kredit foto: Media Hiburan
"Saya tak tahu macam mana boleh timbulnya gosip saya dah hantar rombongan merisik dan bakal kahwin dengan Nana (Siti Nordiana) pada tahun depan. Merisik dan bakal berkahwin itu memang tidak benar. Tahun hadapan saya akan sibuk sebab nak fokus pada kerjaya dan perniagaan sahaja.
"Saya memang akan berkahwin tapi sasaran saya untuk tamatkan zaman bujang itu pada tahun 2021 atau 2022," jelasnya memetik laporan mStar.
Kredit foto: Instagram Fikry Ibrahim
Dalam pada itu, Fikry memberitahu dia mengambil gosip tersebut secara positif selagi perkara itu tidak menimbulkan fitnah yang menjejaskan nama mereka.
"Saya okey saja dan tak ada masalah pun nak layan gosip sebegini. Asalkan ia tidak melampaui batas sehingga boleh menimbulkan fitnah.
"Selagi gosip itu ke arah positif dan bukan sesuatu yang mencemarkan nama saya serta mana-mana pihak, saya okey.
"Kita pun tak boleh nak kawal apa yang orang nak perkatakan. Lumrah menjadi seorang selebriti akan berhadapan dengan gosip cinta," ujar Fikry lagi.
Kredit foto: Instagram Fikry Ibrahim
Untuk rekod, Fikry mula berkawan rapat dengan Siti Nordiana semenjak menjadi pengacara bersama program Gema Gegar Vaganza dan digandingkan menerusi drama 'Cekelat Semanis Honey' pada 2017.
Namun, masing-masing menegaskan hubungan itu hanyalah atas dasar kerja dan tidak wujud cinta lokasi antara mereka.
Eh, kalau betul pun okey juga. Mereka berdua sama cantik, sama padan bagaikan pinang dibelah dua. Malah, kedua-duanya single and available.
Kita doakan sajalah yang baik-baik untuk mereka berdua. Kalau ada jodoh tak ke mana, kan? - CARI |