PDRM melancarkan 181 serbuan dalam Ops Dadu Calling Center (gambar hiasan). Kredit foto: Facebook / The Star Online
Sebanyak 2,661 warga China ditahan dalam Ops Dadu Calling Center yang dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras kegiatan perjudian haram di seluruh negara mulai Januari hingga 12 Disember lalu.
Jumlah itu sekali gus menjadikan mereka sebagai kumpulan majoriti dalam kalangan 3,185 orang yang diberkas polis dalam operasi tersebut.
Memetik laporan Sinar Harian pada 17 Disember, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed menjelaskan, mereka ditahan dalam 181 serbuan yang dijalankan.
Selain menahan suspek-suspek, polis turut merampas sebanyak 258,121 peralatan termasuk komputer, tablet dan telefon bimbit.
"Kita turut merampas wang tunai berjumlah RM237,015 dalam serbuan tersebut," ujarnya.
Peralatan yang dirampas dalam Ops Dadu (gambar hiasan). Kredit foto: Facebook / Arkib Ipd Serdang
Huzir memberitahu, sebahagian besar serbuan dan tangkapan dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Selangor.
"IPK Kuala Lumpur telah melaksanakan 90 serbuan dan IPK Selangor pula 40 serbuan calling center," jelasnya.
Setakat ini, sebanyak 141 kes telah didakwa di mahkamah di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Imigresen 1959.
Salah satu lokasi perjudian yang diserbu (gambar hiasan). Kredit foto: Facebook / Serdang Story
Seharusnya pihak berkuasa memperketatkan lagi prosedur kemasukan warga asing agar mereka tidak sewenang-wenangnya melakukan kegiatan yang melanggar undang-undang negara. - CARI |