|
Berlin: Seorang wanita berusia 28 tahun di Jerman dituduh membunuh lima daripada enam anaknya di bilik mandi, tahun lalu.
Tertuduh, yang hanya dikenali sebagai Christiane K berdepan hukuman penjara seumur hidup, jika didapati bersalah atas kesalahan itu.
AFP melaporkan, mayat tiga anak perempuannya berusia satu, dua dan tiga tahun, bersama dua anak lelaki berusia enam dan lapan tahun ditemui di pangsapuri keluarga itu di bandar Solingen pada 3 September 2020.
Mereka ditemui terbaring di atas katil, masing-masing dalam keadaan berbalut tuala.
Foto: Agensi
Pendakwa percaya ibu mereka mencampurkan ubat ke dalam minuman untuk sarapan anak-anaknya bagi membuat mereka mengantuk, sebelum melemaskan mereka di dalam tab mandi.
Dia kemudian cuba membunuh diri dengan terjun di stesen kereta api Duesseldorf, tetapi diselamatkan dan tidak mengalami kecederaan.
Anak keenamnya, seorang budak lelaki berusia 11 tahun, terselamat kerana berada di sekolah.
Christiane K mendakwa dia tidak bersalah dan mengatakan seorang lelaki bertopeng memasuki flat itu dan membunuh anak-anaknya.
Menurut pendakwa raya, penyiasat tidak menemui bukti untuk menyokong dakwaan wanita itu.
Motif pembunuhan itu masih belum jelas tetapi pendakwa raya Heribert Kaune-Gebhardt berkata, sebelum kejadian, wanita itu pernah bertengkar dengan suaminya yang sudah tidak tinggal bersamanya.
Pertengkaran itu mengenai kekasih baharu kepada lelaki itu.
Dalam pada itu, Pendakwa raya menuduh Christiane K melakukan pembunuhan berniat jahat, dan mengatakan bahawa dia mengambil kesempatan atas kelemahan anak-anak.
Keluarga itu berada dalam pengawasan perkhidmatan sosial tetapi tidak ada petunjuk bahawa anak-anak itu dalam keadaan bahaya. -CARI
Sumber: Harian Metro |
|