ABPBH 2006: Persembahan bertenaga, segar
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
Himpunan nama baru dan popular menambah gemilang persembahan malam kemuncak ABPBH 2006
SEBAIK Datuk Siti Nurhaliza menutup tirai persembahan dengan lagu rancak, Destinasi Cinta dipetik daripada album terbarunya, Transkripsi, hela nafas lega memenuhi segenap ruang Arena Of Stars, Genting Highlands.
Bersama rambut panjang bertocang, Siti penuh bertenaga mengalunkan lagu itu sebagai penutup persembahan malam kemuncak ABPBH 2006 dengan penuh bergaya serta meninggalkan catatan memori terindah kepada mereka yang menyaksikan siaran langsung menerusi TV3.
Sesungguhnya ABPBH 2006 meninggalkan kenangan cukup menarik, apatah lagi malam itu amat istimewa kerana meraikan ulang tahun ke-20 penganjuran acara berprestij dalam kalendar industri hiburan tanah air itu.
Penghargaan wajar diberikan kepada mereka yang bertungkus lumus memastikan persembahan ABPBH 2006 menjadi sesuatu yang manis untuk dibawa pulang.
Tepat jam 9 malam, ruang Arena Of Stars bergema dengan tepukan gemuruh apabila pemenang pertama gelaran tertinggi ABPBH - Bintang Paling Popular 190, Aishah muncul di pentas. Bergaya serba hitam ditaburi kilau jemeki dan cantik bertudung, Aishah memanaskan arena dengan lagu yang menjulang namanya di persada seni, Janji Manismu.
Diberi gubahan baru oleh pengarah muzik ABPBH 2006, Ramli MS, Janji Manismu mengungkap semula nostalgia zaman kegemilangan Aishah era awal 1990-an. Kemunculan Ziana Zain yang anggun dalam persalinan rekaan Khoon Hooi, vokal lantang penyanyi ini mengalun penuh bertenaga lewat lagu Anggapanmu.
Siapa kata Ziana sudah hilang taringnya? Bisa persembahannya masih lagi terasa dan himpunan nostalgia yang cuba dibawa dalam edisi khas ABPBH ini berjaya mengungkap detik gemilang mereka yang membesar bersama penyanyi ini.
Turut diberi penghormatan pada sesi pembukaan ialah dua nama baru yang mula menyinar di persada seni suara. Fazli Zainal diamanahkan dengan lagu Hijau, manakala Azfar membawakan lagu sifu M Nasir, Mantera Semerah Padi. Barangkali mereka tidak dapat menandingi kehebatan orang lama yang begitu banyak pengalaman, namun dua nama ini cuba membuktikan mereka antara pelapis yang akan terus mewarnai dunia nyanyian.
Kemunculan Mawi pula terlalu singkat menyebabkan penonton tidak puas dengan persembahannya lewat lagu yang membuka banyak titik kejayaan dalam karier nyanyiannya, Aduh! Saleha. Berselang seli dengan pengumuman senarai pemenang, persembahan ABPBH 2006 juga memberi peluang kepada duo yang bermula sebagai penyampai radio, Khafi untuk mempamerkan bakat mereka. Mungkin kerana masih terlalu hijau dalam persembahan nyanyian secara langsung, Khairil belum dapat mengawal rasa gugupnya. Getar vokalnya agak ketara ketika permulaan lagu Fantasi Cinta, mujur Faizal berjaya memberi rangsangan.
Gandingan rocker senior mantap
KEPELBAGAIAN genre yang mewarnai industri muzik hari ini juga cuba ditonjolkan menerusi persembahan ABPBH 2006. Ini dibuktikan apabila lagu rock, Musibah dibawakan penuh penghayatan oleh tiga rocker senior - Hattan, Rahim Maarof dan Awie.
Majlis berkenaan begitu bertuah kerana dapat menghimpun permata bernilai dalam bidang nyanyian. Gandingan penyanyi bervokal hebat seperti Dayang Nurfaizah, Noryn Aziz, Ning Baizura dan Nikki membuktikan industri tidak pernah ketandusan bakat mengagumkan. Siapa mungkin lupa kepada kekuatan vokal Noryn ketika memulakan lagu Diamonds Are Forever? Dayang juga mencuri perhatian dalam segmen ini, cuma mungkin belum tuah mereka untuk menjulang trofi kerana saingan untuk kategori wanita terlalu kuat.
Sayang lagu itu agak singkat, belum sempat penonton tenggelam dalam kehebatan vokal mereka persembahan itu sudah tiba di penghujung. Gandingan lama dan baru daripada 双tai・rock, Amy Search dan VE menerusi lagu Rozana juga menjadi umpan untuk penonton setia menyaksikan ABPBH 2006.
Begitu juga apabila dua nama yang dicalonkan untuk kategori Penyanyi Wanita Popular, Misha Omar dan Jaclyn Victor bersatu membawakan lagu Indonesia, Cinta. Seakan pertarungan suara hebat di atas pentas, tayangan klip petikan filem Cinta yang ditayangkan penghujung tahun lalu membawa penonton tenggelam dalam keasyikan lagu yang meruntun perasaan itu.
Turut membuat persembahan pada malam itu ialah penyanyi bersuara lunak, Ramlah Ram yang disatukan dengan Muzli Amir dan bakat baru, Farawahida. Lagu tradisional, Inang Baru cukup indah malah keasyikan vokal Ramlah menyanyikan lagu itu masih lagi terngiang-ngiang di pendengaran. Lebih dua dekad menyanyi, suaranya masih mengalir jernih dan Ramlah bintangnya satu dalam sejuta.
Dan, tiada siapa akan menafikan kehebatan vokal Siti yang terus cemerlang walaupun kini beralih status sebagai isteri. Kerana itu, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila dia terus mempertahan buat kali ke-10 berturut-turut trofi Penyanyi Wanita Popular.
suka ayat ni > Siapa kata Ziana sudah hilang taringnya? Bisa persembahannya masih lagi terasa dan himpunan nostalgia yang cuba dibawa dalam edisi khas ABPBH ini berjaya mengungkap detik gemilang mereka yang membesar bersama penyanyi ini.<<
Originally posted by mekjena at 8-2-2007 01:14 PM
tak sabar nak nk tgk cmner cover album zz nnti...
tapi bila..bila..bila tuuuuu...
tahun depan ke...?????
jgn risau album baru ziana zain kali ni dijangka mendapat sentuhan pereka kulit album terkenal...album yang berkonsepkan titisan air hujan itu akan berada di pasaran selewat2nya may nie:geram::geram::geram: