Edited by Vellfire at 22-2-2022 11:47 AM

See semasa temu bual.
KUCHING: Semakan semula perlu dilakukan terhadap Geran Khas kepada Sabah dan Sarawak di bawah Seksyen 112D Perlembagaan Persekutuan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How.
Beliau menyeru kerajaan negeri melakukan usaha bersepadu untuk meneruskan perkara itu dan bukannya membuat sekali pengumuman sahaja.
“Perkara yang saya fikir penting adalah kita mahukan semakan keseluruhan peruntukan kewangan kerana ia diperuntukkan di bawah Perlembagaan,” katanya dalam satu temu bual.
Ahli Majlis Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) itu mengulas mengenai pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Maximus Ongkili yang menyatakan bahawa Sabah akan menerima kenaikan hampir lima kali ganda geran tahunan.
Ongkili di Kota Kinabalu pada 16 Februari dipetik berkata, perjuangan lima dekad mengenai tuntutan oleh kerajaan Sabah akhirnya berakhir, hasil perbincangan ‘ramah dan waras’ antara kementerian kewangan negeri dan persekutuan baru-baru ini.
Justeru menurut See, adalah sangat bagus untuk mengetahui jumlah sebenar geran khas baharu kepada Sabah tetapi ia tidak didedahkan oleh Ongkilili.
"Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan membenarkan semakan semula geran untuk Sarawak dan Sabah. Kali terakhir ia disemak pada tahun 1969. Selepas itu tiada sebarang semakan," katanya.
Beliau berkata pada 2019, kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH) telah meningkatkan Geran Khas kepada Sabah dan Sarawak di bawah Belanjawan 2020 tetapi ia tidak berlaku selepas pertukaran kerajaan pada awal 2020.
Menurut laporan akhbar, kerajaan persekutuan PH berhasrat untuk meningkatkan Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak dengan menggandakannya pada 2020 iaitu RM53.4 juta untuk Sabah dan RM32 juta untuk Sarawak.
Pemberian khas tahunan sebelum itu adalah sebanyak RM26.7 juta untuk Sabah dan RM16 juta untuk Sarawak dan ia kekal serta belum pernah disemak sejak 1969.
Mengenai perkara lain, beliau berkata Sarawak dan Sabah berhak mendapat lebih banyak autonomi bagi pelbagai perkara yang diberikan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Sarawak dan Sabah perlu bergerak bersama dalam mendapatkan semula perkara ini. Yang paling penting ialah penurunan kuasa. Selepas beberapa dekad, anda bercakap tentang satu kali peningkatan dan ia tidak mencukupi.
"Kita mahu penurunan kuasa dilakukan dalam masa sesingkat mungkin. Saya rasa ini masa terbaik untuk Sarawak dan Sabah," katanya.
See berkata kerajaan PH sebelum ini telah pun mencapai persetujuan dengan kerajaan Sabah dan Sarawak mengenai 17 daripada 21 perkara itu.
"Mari kita mulakan dengan perkara yang sangat penting seperti perubatan, kesihatan dan pendidikan yang harus diberikan kepada Sarawak dan Sabah dengan dana yang diberikan oleh Persekutuan untuk pentadbiran dan pelaksanaan," katanya.
utusanborneo.com.my/2022/02/22 |