
SERIUS: Fatimah (kiri) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak di Miri semalam.
MIRI: Kes serangan terhadap kanak-kanak lelaki di Sarawak menunjukkan peningkatan dan senario ini membimbangkan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.
Beliau berkata, statistik mencatatkan peningkatan iaitu daripada hanya tujuh kes pada 2016 meningkat kepada 11 kes pada 2021.
“Dalam tempoh tersebut, sebanyak 71 kes diterima melibatkan kanak-kanak lelaki berbanding kanak-kanak perempuan sebanyak 980 bagi tempoh yang sama.
“Walaupun jumlah kes kurang berbanding melibatkan kanak-kanak perempuan namun ia menunjukkan peningkatan. Ini perkembangan yang membimbangkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak di sini semalam.
Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus.
Beliau menambah, bagi kes terbabit, ia membabitkan 288 suspek lelaki dan seorang wanita.
Fatimah menambah, lebih 90 peratus serangan seksual terhadap kanak-kanak di negeri ini dilakukan oleh orang yang dikenali mangsa sendiri sama ada dalam kalangan ahli keluarga sendiri atau penjaga.
Katanya, dalam kes melibatkan ahli keluarga, kebanyakan ibu bapa sanggup mengetepikan kepentingan dan penderitaan mangsa, sebaliknya melindungi si pelaku dengan alasan si pelaku adalah pencari nafkah.
“Selain itu, si pelaku dilindungi kerana lebih memikirkan kepentingan dan masa depan adik beradik yang lain serta tidak sanggup kehilangan suami jika disabitkan.
“Kepada ibu bapa, dengar keluhan anak-anak sebab anda mungkin orang yang terakhir yang boleh mereka percayai untuk meluahkan perasaan, penderitaan dan masalah yang dihadapi,” katanya.
Ujar beliau, kes serangan seksual yang berlaku di sekolah perlu dilaporkan supaya pihak berkuasa dapat melaksanakan siasatan dengan lancar.
Fatimah juga menggesa agar mahkamah mempercepat proses perbicaraan kes serangan seksual dan mengurangkan penangguhan bagi melancarkan proses perbicaraan agar si pelaku yang bersalah mendapat hukuman yang sewajarnya.
utusanborneo.com.my/2022/03/08
|