View: 397|Reply: 0
|
[Kelantan]
Yokuk tawar kolam terapi hidro pertama secara percuma di Kelantan
[Copy link]
|
|
YOKUK menawarkan khidmat kolam terapi hidro pertama di Kelantan secara percuma kepada golongan OKU dan mereka yang kurang berkemampuan. FOTO Syaherah Mustafa
Kota Bharu: Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (Yokuk) menawarkan khidmat kolam terapi hidro pertama di negeri ini secara percuma kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan mereka yang kurang berkemampuan.
Pengarah eksekutifnya Datin Suliana Shamsuddin Alias berkata, pembinaan kolam terapi hidro itu membabitkan nilai keseluruhan RM600,000 dan daripada jumlah itu sebanyak RM400,000 disumbangkan oleh CIMB Islamik Bank.
"Terapi hidro ini adalah terapi yang agak mahal sedangkan ia dapat memberi banyak manfaat khususnya kepada golongan OKU untuk membantu memulihkan atau meningkatkan kualiti hidup mereka.
"Jika sebelum ini, pelanggan kami terpaksa mendapatkan khidmat terapi kolam hidro di kolam hotel mahupun pusat terapi berbayar, sekurang-kurangnya membabitkan kos sekitar RM200 hingga RM250 untuk satu sesi, namun di sini (Kelantan) ia diberikan secara percuma sampai bila-bila kepada mereka yang berdaftar dengan kami, sehingga sembuh," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pembukaan Kolam Terapi Hidro Yokuk di Yokuk, Pengkalan Chepa, di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Transaksi CIMB Bank Mohamed Rafe Mohamed Haneef.
Terdahulu, isteri Tengku Mahkota Kelantan Cik Puan Sofie Louise Johansson berkenan merasmikan Majlis Pembukaan Kolam Terapi Hidro Yokuk berkenaan.
Mengulas lanjut, Suliana berkata, kolam terapi itu menggunakan air panas dengan suhu yang bersesuaian dan diletakkan garam untuk kegunaan OKU atau mereka yang mengalami masalah saraf, palsi serebrum dan angin ahmar.
"Setakat ini, kita mempunyai seramai 5,000 OKU berdaftar. Menerusi kolam itu ia dijangka dapat memberi manfaat kepada sekitar 400 pelanggan dengan kapasiti pengguna sekitar empat hingga lima orang pada satu-satu masa yang akan dibantu oleh tiga juruterapi.
"Kebiasaannya perkembangan kesihatan (mereka) yang menjalani terapi ini dapat dilihat dalam tempoh sekurang-kurangnya antara tiga hingga enam bulan, bergantung kepada keadaan dan juga kekerapan menjalani terapi, paling minimum iaitu sekitar dua kali seminggu," katanya.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|