
OPERASI: Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas.
TUARAN: Seorang lelaki yang mengalami kecederaan parah selepas kenderaan dinaiki merempuh pagar rumah di Jalan Tamparuli-Tuaran berhampiran stesen minyak Telibong 1 Mei lalu disahkan meninggal dunia semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tuaran, Asisten Superintendan Raji Hussin Suhodin semasa dihubungi berkata mangsa yang dikenalpasti sebagai Adri Bidin meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku jam 7.50 malam selepas kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar paip air di bahu jalan lalu merempuh pagar rumah penduduk.
“Mangsa yang berjaya dikeluarkan itu ditemukan tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke Hospital Tuaran dan dirujuk ke HQE I untuk rawatan lanjut,” katanya. Katanya mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 7.30 pagi akibat kecederaan organ dalaman dan kepala.
Terdahulu sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta sedan menggunakan peralatan khas kebombaan.
Sementara itu isteri mangsa yang dikenali sebagai Esther Alvin dalam laman sosial Facebook berkata semasa keluar rumah pada pagi hari kejadian mangsa memaklumkan dia ada bermimpi berada jauh daripada isteri serta anaknya.
“Suami saya juga sempat memberitahu yang dia tidak mahu berjauhan dengan saya dan anak kami serta sempat menasihatkan saya agar tidak melakukan perbuatan curang sekiranya dia jauh daripada saya.
“Saya tidak sangka itu ayat terakhir yang saya sempat dengar daripada suami saya sebelum dia pergi untuk selamanya.
“Saya juga tidak dapat menerima kenyataan ini sehingga tersasul bercakap seperti suami saya masih ada di rumah, saya harapkan agar suami saya tenang di alam sana dan maafkanlah sekiranya suami saya ada melakukan kesilapan sebelum ini,” katanya.
Menurutnya arwah akan dibawa balik dan disemadikan di Kampung Bakong-Bakong di sini.
utusanborneo.com.my/2022/05/03 |