CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 437|Reply: 0

[Terengganu] Kemahiran pembuatan replika bot Ayah Wan diwarisi wanita Arab

[Copy link]
Post time 15-5-2022 03:15 PM | Show all posts |Read mode

AYAH Wan memberi tunjuk ajar kepada Rozan untuk menyiapkan replika bot dan kapal layar. FOTO Nazdy Harun

Kuala Terengganu: "Ketika harapan saya untuk melihat warisan pembuatan replika bot dan kapal layar semakin pudar, tiba-tiba hadir seorang insan yang sanggup belajar untuk meneruskan pembuatannya," kata Wan Nordin Wan Abdullah, 66, dari Kampung Pulau Duyung, di sini.

Menurutnya, perkenalan secara kebetulan dengan Rozan Tahhan, 30, dua tahun lalu membuka lembaran baru kerana wanita kelahiran Damsyik, Syria, itu kini mahir membuat replika bot dan kapal layar hasil tunjuk ajarnya.

Katanya, kemahiran membuat replika sejak 45 tahun lalu itu kini diibaratkan kembali bernafas berikutan sudah ada seseorang yang sudi belajar dan membina replika dengan sempurna.

"Dalam tempoh dua tahun Rozan datang ke bengkel pertukangan saya untuk mempelajari ilmu membuat replika bot dan kapal layar hingga wanita Arab terbabit sudah boleh menyiapkan replika yang dihasilkannya.

"Saya sangka individu tempatan yang ingin mempelajarinya berikutan saya pernah menjadi tenaga pengajar selama tiga tahun di sebuah yayasan di negeri ini namun sebaliknya yang berlaku," katanya.

Wan Nordin atau lebih dikenali dengan panggilan Ayah Wan berkata, hidup sebagai pelaut sejak tahun 1977 memberikannya kelebihan sama ada dalam dunia kelautan mahupun dalam bidang pertukangan.

Katanya, satu masa dulu Pulau Duyung adalah tempat persinggahan pemilik kapal layar dan amat terkenal dalam pembuatan kapal layar yang ditempah individu dari Eropah.

Dia berkata, apabila sesebuah kapal layar siap, dia akan membuat pandu uji dan sesetengahnya akan dihantar kepada pemilik melalui pelayaran.

"Kapal layar dibina di sini oleh tukang mahir dan saya pula melakukan kerja akhir dengan menyiapkan layar, kabin dan sebagainya sebelum dipandu uji atau dihantar terus kepada pelanggan.

"Biasanya kita akan membuat pelayaran ke Thailand, Singapura dan Indonesia namun ketika menunggu sesebuah kapal layar siap, saya akan membuat replika untuk dijual," katanya.

Menurutnya, zaman kegemilangan pembuatan bot dan kapal layar di Pulau Duyung kini semakin malap manakala pembuatan replika hanya dia seorang saja yang masih tinggal.

Sementara itu, Rozan berkata, kali pertama dia melihat replika kapal layar dan bot tradisional di bengkel Ayah Wan, dia mula jatuh cinta dan sebaik ditawarkan peluang mempelajari ilmu pembuatannya, dia terus bersetuju.

"Bukan mudah membuat replika bot atau kapal layar namun minat terhadap hasil seni ini membuatkan saya nekad belajar.



ROZAN menyiapkan replika sebuah kapal layar. FOTO Nazdy Harun

"Hingga kini sudah beberapa replika saya siapkan hasil tunjuk ajar Ayah Wan, dan dengan kekangan waktu yang ada saya tetap meluangkan masa terus mendalami ilmu pembuatannya," katanya yang menetap di negara ini sejak tujuh tahun lalu.

Ibu seorang anak itu berkata, rugi sekiranya ilmu pertukangan berkenaan tidak diwarisi kerana ia adalah warisan sejarah buat masyarakat setempat.

Katanya, melalui pembacaan dia, mengetahui Terengganu satu ketika dulu adalah sebuah kerajaan maritim dan sungai Terengganu menjadi salah satu tempat persinggahan pedagang.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... iwarisi-wanita-arab
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-1-2025 03:53 AM GMT+8 , Processed in 0.036205 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list