|
SEBAHAGIAN penerima anugerah menunjukkan sijil penghargaan selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 Peringkat Zon Timur di Kota Darulnaim ,Kota Bharu, Kelantan hari ini. -UTUSAN/ROHANAMOHD.NAWI
KOTA BHARU : Sebuah penjara baharu yang akan dibina di negeri ini bermula tahun hadapan mampu menempatkan seramai 3,000 orang banduan dalam satu-satu masa.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohd. Sayuthi Bakar berkata, berdasarkan perancangan awal, penjara yang bakal dibina di Ketereh di sini dijangka mengambil masa selama tiga hingga empat tahun dan siap sepenuhnya menjelang 2027.
Menurutnya, projek pembinaan penjara itu berada dalam proses awal iaitu pemilikan tanah dan ia dijangka selesai akhir tahun ini.
“Penjara baharu dan serba moden ini boleh menempatkan seramai 3,000 orang banduan. Keadaan dan kelengkapan yang disediakan juga lebih selesa untuk keperluan banduan.
“Pembinaan penjara baharu itu juga dijangka dapat mengurangkan kesesakan banduan termasuk yang ditempatkan di Zon Timur,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021, Peringkat Zon Timur kepada 200 penerima di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Sayuthi berkata, berdasarkan situasi semasa, kebanyakan penjara di negara ini sudah berusia.
Katanya, sehubungan itu, pembinaan penjara baharu akan dilakukan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sekali gus mampu memberikan fasiliti yang lebih baik kepada pihak pengurusan selain penghuni.
Dalam perkembangan sama, Jabatan Penjara Malaysia mengambil inisiatif dengan mengadakan pelbagai program pemulihan untuk mengurangkan kesesakan banduan dalam penjara ketika ini.- UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... iap-menjelang-2027/ |
|