View: 381|Reply: 0
|
[Kelantan]
Harga ikan naik akibat musim hujan
[Copy link]
|
|
Kota Bharu: Harga ikan meningkat sebanyak RM2 bagi setiap kilogram sejak dua minggu lalu di negeri ini disebabkan bekalan yang berkurangan berikutan musim hujan.
Tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini, mendapati harga ikan yang naik adalah ikan kembung dan selayang masing-masing daripada RM16 kepada RM18 serta RM12 kepada RM14.
Peniaga ikan, Aminah Burahim, 39, berkata faktor kekurangan bekalan ikan menyebabkan harga meningkat sejak dua minggu lalu.
Katanya, musim hujan ketika ini juga menyebabkan nelayan di negeri ini tidak dapat turun ke laut sekali gus mengurangkan bekalan di pasaran.
"Setiap tahun apabila tiba musim hujan, bekalan ikan akan terjejas dan saya terpaksa mengambil bekalan daripada pembekal dari Besut, Terengganu dan Kuantan, Pahang.
"Jika sebelum ini, saya mengambil bekalan ikan dari nelayan atau pembekal dari Pantai Sabak atau Kemasin, Bachok," katanya yang berniaga ikan sejak lapan tahun lalu.
AMINAH menyusun ikan untuk dijual kepada pelanggannya ketika tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Ibu kepada lima anak itu berkata, kedainya menjual ikan segar menyebabkan dia sanggup mengambil bekalan dari luar Kelantan.
Katanya, walaupun harga meningkat, namun pelanggan sanggup membelinya kerana ikan yang dijualnya segar disebabkan diperoleh daripada pembekal atau nelayan bukannya ikan kotak.
Sementara itu, peniaga ikan, Yusoff Ishak, 50, mengakui setiap hujung tahun bekalan ikan akan berkurangan kerana faktor hujan.
"Saya mendapat bekalan dengan harga yang tinggi, jadi terpaksa menaikkan harga di antara RM1 hingga RM2 bagi setiap kilogram.
"Kebiasaan harga ikan naik ini hanya bersifat sementara sahaja kerana selepas keadaan cuaca baik, bekalan ikan akan banyak sekali gus menyebabkan harga kembali turun," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... musim-hujan-metrotv |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|