GEORGETOWN: Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Singh melihat antara agenda penting ialah melihat undang-undang yang sepatutnya dipinda atau dimansuh, bagi membentuk sistem perundangan lebih baik.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata, antara perkara yang diperhatikan berhubung perkara berkenaan ialah pengasingan kuasa di antara pendakwa raya dengan peguam negara, selain isu berkaitan kewarganegaraan.
"Ini perkara-perkara yang kami bangkitkan pada masa dulu. Saya harap kita akan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk juga undang-undang lain kita akan bincang dengan lebih mendalam.
"Esok saya akan melaporkan diri ... akan ada beberapa mesyuarat dalam dua atau tiga ini bersama menteri (Datuk Seri Azalina Othman Said) dan pegawai-pegawai lain.
"Jadi saya harap dan yakin kami dapat bekerjasama demi kepentingan negara untuk reformasi undang-undang dan sebagainya," katanya kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Penghargaan Parlimen Bukit Gelugor di sini, malam ini.
Ramkarpal turut menyifatkan bidang undang-undang begitu akrab dengan dirinya selaku seorang peguam, selain menyifatkan lapangan itu amat penting kerana bersangkut-paut dengan semua pihak.