Kuala Perlis: Kejadian air surut setiap awal Februari membuka rezeki bagi penduduk Kampung Pulau Ketam mencari kerang dan siput kemudi (siput paha ayam) untuk dijual dan dijadikan sebagai lauk dikongsi bersama keluarga.
Seorang pencari siput Mat Zakaria, 85, berkata, setiap kali musim air surut, beliau tidak akan melepaskan peluang untuk ke tepi pantai bagi mencari kerang dan siput kemudi untuk dijadikan sebagai lauk makan tengah hari bersama keluarga.
"Biasa bolehlah dapat sekilo dua untuk dijadikan lauk, jika ada lebih kadang-kadang saya jual kepada peraih dengan harga RM6 sekilo bagi kerang dan RM8 sekilo bagi siput kemudi.
"Jika sikit saya minta isteri masak siput kemudi goreng bercili, enak dimakan bersama nasi panas," katanya kepada Bernama di sini, semalam.
Tinjauan Bernama mendapati ramai penduduk kampung sekitar Kuala Perlis turun ke pantai sejak jam 7 pagi bagi mengutip siput ketika air surut.

SIPUT kemudi dijual RM8 sekilo. FOTO BERNAMA
Bukan mudah sebenarnya untuk mencari kerang kerana perlu meredah lumpur pada paras lutut dan berjalan sejauh lebih kurang dua kilometer merentasi hutan bakau dan beting pasir.
Turut berkongsi pengalaman seorang suri rumah, Bunga Baharin, 70, berkata, setiap kali musim air surut beliau akan ke tepi pantai bagi mendapatkan siput kemudi yang enak dimasak goreng bercili dan masak goreng kunyit.
"Saya akan kumpul dulu isi siput kemudi dan rebusnya sebelum dijual kepada peraih, hasil jualan tidak besar iaitu dalam dua atau tiga kilogram sehari sahaja," katanya.
Bagi pencari kerang, Raswadi Che Razmi, 30, berkata, musim air surut adalah pembuka rezeki baginya dan keluarga kerana kerang mudah dicari ketika air laut surut.
"Hasil jualan kerang tidak besar iaitu RM6 sekilo, tapi saya tetap bersyukur dengan rezeki yang diperoleh," katanya.