
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athirah Sabu mengadakan lawatan kerja bagi meninjau tapak Projek Membina dan Menyiapkan Kerja-kerja Terbengkalai Kompleks Sinar Kasih, Nibong Tebal Foto NSTP/FB Aiman Athirah Sabu.
NIBONG TEBAL: Kompleks Sinar Kasih di Jalan Sungai Daun, Taman Berjaya, di sini yang dilaporkan terbengkalai selepas projek pembangunan itu bermula sejak tujuh tahun lalu dijangka siap pada Jun ini.
Selepas siap kelak, beberapa kumpulan sasar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang memerlukan perlindungan dan pemulihan akan ditempatkan di situ.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu, berkata kompleks itu adalah milik KPWKM di bawah seliaan agensi utamanya iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Ia adalah sebuah kompleks integrasi yang akan menempatkan beberapa kumpulan sasar KPWKM yang memerlukan perlindungan dan pemulihan.
"Kompleks seperti ini merupakan yang pertama akan wujud di Malaysia," katanya menerusi hantaran dalam laman Facebook hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja ke atas tapak projek berkenaan bersama Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM, Wan Noraidah Wan Mohd Zain petang tadi.
Hadir sama dalam lawatan itu, Pengarah JKM Negeri Pulau Pinang Zakaria Taib bersama pasukan pengurusannya.
Aiman Athirah berkata, ketika lawatan itu beliau mendengar taklimat dan laporan berhubung kemajuan projek itu yang bermula sejak 2016.
"Taklimat disampaikan oleh jurutera projek dan pasukan kontraktor baharu yang akan menyiapkan kerja-kerja terbengkalai kompleks ini.
"Selain itu, terdapat juga beberapa isu (berhubung projek) yang telah dimajukan ke perhatian saya untuk tindakan segera.
" Insya-Allah projek ini akan siap pada Jun 2023," katanya.