Kangar: Buruh maut selepas dilibas rantai besi pencangkuk yang digunakan untuk membawa keluar mesin pemotong padi yang rosak di sawah padi di Kampung Sungai Padang, Simpang Empat, di sini hari ini.
Kejadian berlaku jam 4.33 petang apabila mangsa, Mohamad Sharif Hamdan, 36, dari Kampung Kota Kayang, di sini, sedang membetulkan rantai yang digunakan untuk menarik mesin pemotong padi yang dinaiki rakannya di sawah itu.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa dan rakannya dipercayai sedang membantu sebuah mesin padi milik seorang lagi rakan yang tersangkut di kawasan itu.
"Proses menarik keluar mesin pemotong padi itu dilakukan dengan bantuan sebuah mesin padi yang dinaiki mangsa dan rakannya lain.
"Ketika mangsa sedang menyelia kedudukan besi pencangkuk yang diikat pada mesin pemotong padi yang terbenam itu, salah satu pencangkuk yang diikat itu tiba-tiba patah menyebabkan rantai besi itu terputus.
"Rantai besi itu melibas bahagian leher sebelah kiri dan pipi mangsa yang berdiri di antara dua mesin padi itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, libasan itu mengakibatkan mangsa mengalami cedera parah sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa di bawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk proses bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.