Balik Pulau: Polis menahan seorang lelaki dan wanita yang dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan iaitu perkhidmatan pembersihan dan pelaburan Forex tidak wujud yang diiklankan melalui Facebook.
Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam kenyataan hari ini berkata, lelaki berusia 57 tahun dan wanita berumur 51 tahun itu ditahan secara berasingan di Lumut dan Tronoh, Perak, dua hari lalu hasil maklumat dan risikan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Barat Daya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua mereka dipercayai terbabit dalam kes tahun lalu yang membabitkan kerugian RM25,913 hingga RM32,680 dan mereka kini direman empat hari bagi membantu siasatan, yang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.
Sementara itu, kenyataan sama memaklumkan polis menahan enam lelaki berusia 20-an dan menyita enam motosikal dalam operasi Op Samseng Jalanan yang dijalankan di kawasan tumpuan mat rempit serta lumba haram, di daerah barat daya Pulau Pinang.
Katanya, dalam operasi bermula 9 malam semalam hingga 2 pagi hari ini pihak polis turut mengeluarkan lapan saman kepada penunggang motosikal kerana pelbagai kesalahan lalu lintas.