Kangar: Tempoh reman anggota polis yang
menembak mati isterinyadi Kampung Bendang Baru, Simpang Empat di sini, 5 Mac lalu disambung lima hari lagi hingga 17 Mac depan.
Perintah lanjutan reman itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Kangar Siti Nor Hasliza Md Ali di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) hari ini, susulan suspek yang masih menjalani rawatan di HTF.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop mengesahkan sambungan
reman terhadap anggota berpangkat Lans Koperal berusia 27 tahun itu.
"Dalam masa yang sama juga kita sedang menunggu laporan bedah siasat mangsa, manakala, suspek berada di hospital ini untuk terus menjalani pemeriksaan klinikal kesihatan dan psikiatri," katanya.
Suspek yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis disyaki membunuh
Safsufarnisya Salleh, 26, yang hamil lima bulan dengan menembak lebih lima das pada jarak dekat.
Kejadian berlaku dalam bilik di rumah keluarga pasangan berkenaan dengan tembakan terkena bahagian muka di mata kiri mangsa dan mangsa maut di tempat kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.