BAYAN LEPAS: Kerajaan berharap satu ketetapan dapat dicapai berhubung cadangan untuk mengurangkan kos pengambilan pekerja domestik Indonesia (PDI) yang menjangkau sehingga RM15,000 seorang.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, kunjungan Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziyah, pertengahan bulan ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membincangkan usaha penyelesaian berkaitan isu terbabit.
"Kita melihat ada peluang cerah untuk mencapai satu keputusan jika kita dapat mengurangkan kos pada tahap lebih rendah dan itu menjadi aspirasi serta matlamat kerajaan.
"Semoga kita dapat berbuat demikian pada perjumpaan itu nanti. Kalau boleh kita ada persetujuan antara Indonesia itu lebih baik," katanya selepas Majlis Pengumuman Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2023 Wilayah Utara di Pusat Konvensyen Setia SPICE di sini, hari ini.
Sivakumar berkata, rundingan berhubung isu berkenaan bukan pertama kali diadakan dengan perbincangan terkini membabitkan Kumpulan Kerja Bersama Malaysia-Indonesia di Yogyakarta pada Februari.
Beliau berkata, kos PDI yang boleh dikatakan agak tinggi ketika ini iaitu dalam lingkungan RM15,000 dengan sebahagian besarnya berpunca dari negara sumber itu sendiri.
"Mereka mungkin ada 'multilevel recuitment' (pengambilan pelbagai peringkat) apabila pekerja domestik itu dibawa misalnya dari kawasan pedalaman, kemudian dihantar ke beberapa agensi sebelum ke Malaysia.
"Jadi ia membabitkan banyak kos dan kerana itu ia meningkat sehingga paras berkenaan dan kita memang lihat ini sebagai satu masalah besar juga untuk pekerja formal," katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan turut mencari jalan penyelesaian berkaitan pekerja asing yang perlu membayar kos terlalu tinggi sehingga menekan mereka daripada negara sumber lain selain Indonesia.
"Ia boleh dilakukan, tetapi kita kena ada satu kemahuan politik untuk menyelesaikan masalah ini," jelasnya.
Semalam sebuah portal berita melaporkan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, berkata kos pengambilan pembantu rumah warga Indonesia boleh turun serendah RM8,000 bergantung rundingan antara agensi pengambilan pekerja kedua-dua negara.
Setakat 22 Januari lalu, terdapat 399,827 warga Indonesia bekerja di Malaysia dalam sektor perkilangan, pembinaan, perladangan, perkhidmatan, pertanian, pembantu rumah asing, perlombongan dan pengkuarian.
Daripada jumlah itu, 63,323 bekerja sebagai pembantu rumah dengan warga Indonesia mewakili jumlah terbesar dalam sektor domestik di negara ini.