|
Gambar kenangan Ammir Hussein (kiri) dan Norhafizah Sazwa (kanan) bersama tiga anak mereka. Gambar atas: Keadaan kenderaan Naza Citra selepas dirempuh sebuah lori pasir.
KEMAMAN – Anak angkat Ammir Hussein Mohamad yang kritikal selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mengorbankan tiga beranak mula menunjukkan reaksi positif.
Ibu saudaranya, Norhidayah Salmi Harun, 42, berkata, walaupun separa sedar, Ammzar Hussniah Ammir Hussein Abdul Azim, 8, yang mesra dipanggil Nia sudah boleh bernafas tanpa alat bantuan pernafasan.
“Dia juga mula menunjukkan reaksi menggerakkan anak mata dan jari apabila dipanggil.
“Kami sebak apabila dia beberapa kali cuba untuk memanggil walid dan ‘mommy’ walaupun dalam keadaan payah sewaktu tiub pernafasannya dicabut doktor semalam (kelmarin),” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kosmo! kelmarin melaporkan, Ammir Hussein Mohamad, 38, dan dua anaknya, Ammzar Husszair Al Hussein, 4, dan Ammzar Hussnayan Al Hussein, 1, maut selepas kenderaan pelbagai guna
Naza Citra yang mereka naiki dirempuh sebuah lori muatan pasir yang terbabas pada Jumaat lalu.
Kenderaan berat itu dipercayai terbabas kerana mengalami kegagalan brek
Dalam kemalangan di Kilometer 154, Jalan Jerangau-Jabor dekat persimpangan Cheneh-Mak Lagam, di sini, pada pukul 2 petang itu, Ammzar Hussniah Ammir Hussein cedera parah, manakala ibu angkatnya, Norhafizah Sazwa Harun, 38, yang sarat hamil tujuh bulan pula cedera pada bahagian perut.
Mengulas lanjut, Norhidayah Salmi percaya Ammzar Hussniah Ammir Hussein akan terus kuat untuk sedar sepenuhnya dan sembuh dalam masa terdekat.
Katanya, kanak-kanak perempuan itu amat manja dan rapat dengan arwah bapa angkatnya, Ammir Hussein serta ibu angkatnya, Norhafizah Sazwa.
“Sehingga kini Nia masih belum mengetahui walidnya (Ammir Hussein) dan dua adiknya (Ammzar Husszair Al Hussein dan Ammzar Hussnayan Al Hussein) sudah tiada lagi di dunia ini.
“Biarlah dia sihat dan sembuh dahulu baru ‘mommy’ (Norhafizah Sazwa) akan menceritakan kejadian sebenar,” katanya.
Norhidayah Salmi berkata, berdasarkan makluman doktor yang merawat Nia, kanak-kanak perempuan tersebut memerlukan masa kira-kira lima bulan untuk pulih.
Ujarnya, Nia yang juga murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Seri Iman, Chukai, di sini, mengalami patah di beberapa anggota badan termasuk bahu serta pergelangan kaki kanan.
https://www.kosmo.com.my/2023/09 ... iada-lagi-di-dunia/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|