View: 3246|Reply: 0
|
Romania, Switzerland layak ke Euro 2024
[Copy link]
|
|
Pemain Romania meraikan kejayaan layak ke Euro 2024 selepas menundukkan Israel 2-1 pada aksi kelayakan di Stadium Pancho, Felcsut, Hungary awal pagi tadi. – Foto REUTERS
FELCSUT, Hungary: Romania menempah tiket ke pusingan akhir Euro 2024 selepas bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk meraih kemenangan 2-1 ke atas Israel dalam perlawanan Kumpulan I awal pagi tadi.
Perlawanan itu yang dilangsungkan di Hungary, seimbang hinggalah Ianis Hagi memastikan kemenangan buat Romania dengan rembatan leret dari sudut sukar dalam kotak penalti selepas 63 minit.
Eran Zahavi meletakkan Israel di depan selepas 90 saat dengan satu tandukan susulan sepakan sudut namun Romania menyamakan kedudukan pada minit ke-10 apabila George Puscas menanduk masuk satu percubaan yang terkena palang.
Ketegangan timbul apabila pemain Romania, Valentin Mihaila dilayangkan kad merah lima minit sebelum tamat kerana terjahan keras ke atas Dor Turgeman.
Ia kejayaan kedua Romania layak ke kejohanan utama sejak tahun 2008.
Pemain Switzerland meraikan gol Ruben Vargas ketika seri 1-1 dengan Kosovo pada aksi kelayakan Euro 2024 di Stadium Saint Jakob-Park, Basel awal pagi tadi. – Foto AFP
Switzerland turut layak sekalipun dipaksa seri 1-1 di laman sendiri oleh Kosovo.
Kosovo tertekan bagi sepanjang babak pertama namun Switzerland hanya mampu memecah kebuntuan dua minit selepas rehat menerusi tandukan Ruben Vargas sebelum Muhamet Hyseni menyamakan kedudukan buat tuan rumah lapan minit sebelum tamat.
Switzerland, yang menghuni tangga kedua dengan 17 mata, mengesahkan penamat dua teratas bagi memastikan penampilan ketiga berturut-turut pada pusingan akhir Euro dan keenam secara keseluruhan.
Impian Wales untuk layak ke Euro ketiga berturut-turut menerima tamparan selepas seri 1-1 dengan Armenia di gelanggang lawan.
Anak buah Rob Page boleh memastikan kemaraan jika menang tetapi Wales ketinggalan menerusi jaringan awal Lucas Zelarayan dari luar kotak penalti di Yerevan.
Pemain Wales, Ethan Ampadu (kanan) bersaing dengan pemain Armenia, Georgiy Harutyunyan pada aksi kelayakan Euro 2024 di Stadium Republikan Vazgen Sargsyan, Yerevan awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Gol sendiri Nair Tiknizyan membantu pelawat menyamakan kedudukan sebelum rehat namun Wales gagal mencari gol kemenangan dan mereka memerlukan Croatia tumbang.
Croatia yang layak ke separuh akhir Piala Dunia 2022 melonjak ke tangga kedua Kumpulan D selepas menang 2-0 di Latvia ketika Lovro Majer dan Andrej Kramaric meledak gol dalam tempoh 16 minit pertama.
Wales mesti menundukkan Turkiye yang sudah layak di Cardiff awal pagi Rabu ini dan berharap Croatia gagal menewaskan Armenia di laman sendiri. – REUTERS/AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... -layak-ke-euro-2024 |
|
|
|
|
|
|
| |
|