|
Pelakon terkenal, Julia Roberts meminati Manchester United. - Foto AGENSI
MANCHESTER: Pep Guardiola mungkin sudah memenangi kesemua trofi bersama Manchester City, tetapi ia tidak mencukupi untuk menawan hati Julia Roberts.
Pengendali City itu mendedahkan, dia adalah peminat setiap pelakon Pretty Woman itu - salah seorang daripada tiga idolanya.
Bagaimanapun Roberts tidak begitu berminat dengan kilauan trofi dan memilih untuk menjadi penyokong kelab Manchester yang semakin hilang hala tuju - Manchester United.
Dalam satu temu bual bersama The Graham Norton Show, Roberts, 56, mendedahkan, dia dan keluarganya terpukau dengan kelab itu.
"Saya pernah ke Old Trafford, saya peminat sejati. Saya mempunyai tiga orang anak dan mereka meminati bola sepak.
"Saya tidak sangka ia begitu menarik untuk ditonton di televisyen. Kami begitu meminatinya dan Manchester United menjadi pasukan pilihan kami, pasukan keluarga Moder. Kami seperti terpukau," kata Roberts.
Roberts turut bergambar dengan pengendali United, Erik ten Hag dan pemain-pemainnya - Bruno Fernandes, Marcus Rashford dan Casemiro ketika lawatan pra-musim kelab itu ke Amerika Syarikat.
Pada Mac lalu, Guardiola kecewa apabila Roberts tidak singgah di Etihad, sebaliknya melawat Old Trafford dalam percutiannya ke England.
"Dia pergi melawat Man United. Dia tidak datang berjumpa kami. Sebab itu walaupun memenangi Liga Juara-Juara Eropah, ia tidak dapat dibandingkan dengan Julia Roberts pergi ke Manchester United tetapi tidak datang bertemu kami.
"Walaupun saya memenangi Liga Juara-Juara Eropah, ia tidak dapat menebus kekecewaan saya," kata Guardiola.
Selain Roberts, Guardiola turut menamakan Tiger Woods dan Michael Jordan sebagai idolanya. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... ih-kelab-manchester |
|