View: 4220|Reply: 0
|
[Kelantan]
MAIK sumbang RM150,000 kepada penduduk Palestin sepanjang Ramadan
[Copy link]
|
|
Trak yang membawa bekalan makanan menerusi Misi Khas Ramadan Gaza 2024 untuk diagihkan kepada penduduk Palestin. - Foto MAIK
KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menghulurkan sumbangan berjumlah RM150,000 kepada badan bukan kerajaan (NGO) I Relief and Humanitarian Outreach Malaysia (iReach) untuk disalurkan kepada rakyat Palestin menerusi Misi Khas Ramadan Gaza 2024.
Menerusi kenyataan Facebook MAIK, pihak iReach dengan jaminan Kedutaan Palestin di Kaherah akan memastikan kesemua bekalan berkenaan akan sampai pada hari ini.
Katanya, bantuan berkenaan diuruskan oleh Pengarah iReach, Johan Ariff Ismail dengan kerjasama NGO di sana supaya ia dapat diterima terus oleh penduduk Palestin.
"Keperluan ini dibawa masuk ke Semenanjung Gaza menggunakan jalan darat dan kotak makanan yang sudah siap sedia ini bakal diterima oleh 2,080 penduduk yang sedang bergelut dengan kebuluran di sana.
"Dengan kerjasama iReach, pihak MAIK menyumbangkan makanan siap dimasak, wang tunai dan juga barangan makanan lain yang penduduk khususnya di Rafah, Tengah Gaza dan Jabalia.
"Selain itu, menerusi bantuan berkenaan MAIK turut menyediakan bekalan gandum yang mana, bekalan ini akan mampu bertahan sehingga dua bulan untuk setiap keluarga," katanya.
Katanya, meskipun berpuasa dalam suasana kebuluran yang memuncak sudah biasa buat mereka, namun rakyat di bumi Gaza perlu dibantu dalam apa jua cara meskipun dan sekecil manapun bantuan supaya Ramadan kali ini dapat dinikmati seadanya.
"Lebih menyedihkan lagi, bersahur dan berbuka puasa dalam suasana terlampau ala kadar dan suram menyelubungi penduduk di Semenanjung Gaza. Doakan agar bekalan makanan yang disumbangkan ini diterima di tangan anak-anak kecil dan ibu bapa mereka yang diharapkan mampu mengalas perut dalam suasana kehancuran di sana," katanya.
Menerusi kenyataan sama, pihak MAIK turut berkolaborasi dengan Pertubuhan Viva Palestina Malaysia bagi menyediakan makanan bersih untuk penduduk di Rafah berbuka puasa.
"Makanan ini dimasak oleh pertubuhan dan diagihkan kepada kira-kira 400 penduduk terutamanya kepada kanak-kanak.
"Wakil pertubuhan mengucapkan terima kasih kepada pihak MAIK atas sumbangan berkenaan yang sedikit sebanyak dapat melegakan penduduk di kawasan bergolak ini," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... n-sepanjang-ramadan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|