KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini terhadap seorang pelayar Facebook, Mohd Nawawi Abdul Razak dan menuntut ganti rugi RM10 juta kerana memfitnah Mufti Perlis itu, pernah mendapat keuntungan daripada GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Mufti itu yang lebih dikenali sebagai Maza selaku plaintif mengemukakan saman berkenaan menerusi Tetuan Faizal Rahman & Co pada 10 Oktober lalu.
Beliau menamakan Mohd Nawawi, 37 sebagai defendan tunggal, berhubung kenyataan fitnah yang dikeluarkan dalam bentuk komen bergambar, dari satu hantaran media sosial milik individu lain, dikenali ‘Kayrollz Nasri’.
Kenyataan yang dikeluarkan pada 20 September lalu, ialah berhubung isu fatwa kesesatan GISBH oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh media pada Selasa, plaintif mendakwa, kenyataan fitnah itu memberi gambaran Mufti berkenaan mempunyai hubungan yang akrab, menerima ganjaran wang dan keuntungan peribadi daripada GISBH.
Katanya, komen palsu itu turut memberi makna plaintif seorang yang hipokrit dan mengamalkan perbuatan khurafat.
“Fitnah itu turut umpama memberi erti plaintif bertindak secara melulu, gopoh, sambil lewa dan semberono dalam mengeluarkan fatwa terhadap gerakan GISBH.
“Selain menunjukkan plaintif sebagai seorang Mufti yang tidak kompeten, bodoh dan tidak menghormati Raja Perlis dalam mengeluarkan fatwa,” katanya.
Sinar Harian
|