Asia Barat, Eropah potensi baharu durian Malaysia
Oleh FADZIL ZAINOL
28 Disember 2024, 1:59 pm
Mohamad mengait buah manggis, ketika sesi Lawatan Kerja ke Duriotourism MARDI Kuala Kangsar di Taman Agroteknologi MARDI di sini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!
KUALA KANGSAR – Malaysia melihat rantau Asia Barat dan Eropah sebagai potensi baharu eksport durian negara selepas buah itu laris dijual di China.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bagaimanapun berkata, potensi tersebut adalah untuk produk hiliran seperti makanan yang berasaskan isi durian seperti ais krim berbanding jualan buah durian.
Katanya, fokus produk hiliran tersebut banyak diusahakan oleh pihak swasta dan kerajaan akan memberi sokongan.
“Pasaran seperti Asia Barat ini, apabila melihat sebiji buah durian, mereka berasa ‘gerun’ dan tidak memakannya. Tetapi produk seperti ais krim atau roti yang berasaskan durian itu, mereka makan.
“Jadi apabila kita mempromosikan durian, tidak semestinya mereka perlu membeli buah durian. Tetapi membeli produk hiliran berasaskan durian. Produk sebegini digemari termasuk di Eropah
“Produk hiliran ini cukup penting bagi buah durian kerana dimakan oleh semua orang, contohnya orang Jepun. Jika kita beri mereka sebiji buah durian, mereka agak terkejut kerana tidak biasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini semasa mengadakan lawatan kerja ke Duriotourism MARDI Kuala Kangsar. – KOSMO! ONLINE
|