MUSNAH: Rumah dua tingkat di Kampung Air Panas Tawau musnah dalam kebakaran.
TAWAU: Sebuah rumah dua tingkat musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Air Panas, di sini awal pagi, tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, sebuah lagi rumah dua tingkat turut terbakar 30 peratus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.35 pagi.
Katanya, sepasukan 15 anggota dan pegawai bersama empat jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pemadaman.
“Sebaik tiba, pasukan bomba terus menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua pancutan daripada sumber air jentera tangki air bomba
“Kebakaran itu membabitkan sebuah rumah dua tingkat musnah keseluruhannya dan sebuah lagi terbakar 30 peratus,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Jemishin berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kebakaran selamat dan menamatkan operasi pada jam 3.38 pagi.
“Pasukan bomba akan menjalankan siasatan untuk mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa,” katanya.
|