Caj kesesakan tanpa pengangkutan awam perkasa akan tekan rakyat
Mohamad Fadli - 19 Feb 2025, 06:23 PM
Rakyat perlukan mod pengangkutan awam yang sebagai alternatif sebelum caj kesesakan boleh dilaksanakan, kata menteri.
Menteri Loke Siew Fook kata sistem pengangkutan awam harus diperkasakan sebelum laksana caj kesesakan.
KUALA LUMPUR: Mengenakan caj kesesakan tanpa sistem pengangkutan awam yang perkasa hanya akan menekan rakyat, tegas Menteri Loke Siew Fook.
Menteri pengangkutan itu berkata kementerian berpandangan sistem pengangkutan awam harus diperkasakan terlebih dahulu, sebelum melaksanakan caj tersebut.
“Pelaksanaan caj kesesakan semata-mata tanpa alternatif kepada rakyat untuk menggunakan mod pengangkutan awam yang baik hanya akan menekan rakyat dan memberi kesan sampingan kepada sosioekonomi rakyat,” katanya semasa menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.
Loke melaporkan kepada wakil rakyat bahawa cadangan mengenakan caj kesesakan ada dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya, yang melihat pelaksanaan inisiatif itu di negara-negara maju.
Beliau juga memaklumkan negara lain melaksanakan caj kesesakan setelah ia memiliki sistem pengangkutan awam yang mampan, dengan jaringan dan capaian perkhidmatan berada pada tahap yang baik.
Loke menegaskan perkara itu ketika menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong), berhubung mengenakan caj kesesakan ke atas pemandu yang memasuki kawasan tertentu pada waktu puncak, dan sekatan berdasarkan nombor plat, untuk mengurangkan jumlah kenderaan di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Loke melaporkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia pada 9 Sept lalu menerima permohonan rasmi yang lengkap daripada kerajaan Kedah untuk menubuhkan aerodrom bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.
Beliau berkata memorandum berkaitan dijangka akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Turut dilaporkan, 5,800 audit pemeriksaan dan keselamatan (Jisa) terhadap kenderaan perdagangan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan, membabitkan 3,202 syarikat sepanjang 2019 sehingga 2024.
Hasilnya, sebanyak sebanyak 473 lesen pengendali dan permit kenderaan digantung, manakala lapan lesen pengendali dan permit kenderaan dibatalkan.
“Tindakan ini diambil berdasarkan kes kemalangan, dapatan daripada laporan Jisa oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat dan aduan,” katanya.
|