CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 24421|Reply: 0

Dari tasbih ke barangan kulit, bekas jurugambar aktif hasilkan kraf, ulang-alik 200km ke Sekinchan untuk 'berguru'

[Copy link]
Post time 7-3-2025 05:07 PM | Show all posts |Read mode

Ketika mahu pergi mengerjakan umrah pada 2017, Yahya Zain menerima hadiah berupa tasbih daripada seorang rakan untuk digunakan ketika beliau mengerjakan ibadah tersebut.

Tanpa disangka-sangka, pemberian itu telah mencetuskan minat baharu dalam dirinya.

“Seorang rakan menghadiahkan saya tasbih tawaf untuk digunakan semasa umrah.

"Apabila pulang ke rumah, saya mendapat idea menghasilkan tasbih ringkas untuk diberikan kepada rakan dan keluarga yang akan menunaikan umrah,” kata bapa kepada tiga cahaya mata yang tinggal di Subang, Selangor itu.

Pada masa itu, Yahya masih bekerja sebagai jurugambar.

Untuk memenuhi keperluan terhadap minat baharunya itu, beliau mula mencari bahan dan reka bentuk terkini dalam proses menghasilkan tasbih setiap kali mempunyai masa lapang.

Tidak lama kemudian, tasbih buatannya terdiri daripada tujuh manik mula menarik perhatian di media sosial. Ia berikutan rakan dan keluarga yang ingin menunaikan umrah berkongsi cenderahati pemberian kecilnya itu, namun praktikal kepada kenalan.

"Apabila seorang rakan mengetahui tentang kerja kraf ini, dia mencadangkan saya mengunjungi pusat beli-belah borong di Klang kerana di sana menawarkan lebih banyak pilihan manik, batu dan aksesori sesuai untuk tasbih," kongsi lelaki berusia 64 tahun tersebut.

Yahya tidak menyangka hasil singgah ke kompleks berkenaan membuka dunia baharu untuknya.

“Terdapat pelbagai jenis batu separa berharga dan bahan pembuatan barang kemas dijual, menjadikan pilihan awal saya bagi manik plastik untuk tasbih kelihatan seperti hanya tasbih biasa,” katanya.

Pada mulanya, beliau agak teragak-agak untuk membeli kerana kos batu separa berharga lebih tinggi berbanding manik plastik. Namun, Yahya seterusnya memutuskan untuk membeli beberapa utas batu yang berbeza-beza.

Pada hari itu, beliau pulang ke rumah bukan sahaja dengan beberapa batu separa berharga dan aksesori, tetapi bersama idea segar untuk mengembangkan produk krafnya.


“Pembantu kedai itu memberikan demonstrasi teknik asas membuat gelang dan cukup baik hati membenarkan merakam menggunakan telefon saya,” kata Yahya.

Sepulangnya ke rumah, beliau terus berlatih dengan menggunakan video diambil dan tidak mengambil masa lama untuk menghasilkan gelang sendiri.

Meneroka kraf baharu

Secara perlahan-lahan, beliau kemudian mula menikmati kemahiran baharu dalam kerja manik dan barang kemas.

Yahya turut bereksperimen dengan reka bentuk berbeza, menggabungkan kreativiti dengan inspirasi daripada media sosial.

Pengalaman beliau membantu rakan-rakan di gerai Central Market, Kuala Lumpur mereka dengan perkakas tembaga dan kad lukisan tangan juga memberi dorongan tambahan.

“Sebagai jurugambar, saya dilatih untuk melihat subjek secara kreatif menggunakan mata fotografi,” kata Yahya, yang menamatkan tugas sebagai jurugambar selepas memilih mengambil skim pemisahan sukarela awal 2020.

Tempoh persaraan memberi ruang kebebasan buat Yahya mengejar minat kreatif yang tidak pernah dapat diterokai secara mendalam semasa bekerja.

Antara rutin hariannya di surau sambil menjalankan hobi berkebun dan berbasikal, beliau turut meluangkan masa mempamerkan hasil kerjanya di bazar dan galeri, termasuk di Central Market dan Amcorp Mall dan Galeri Shah Alam di Selangor.

Selain itu, Yahya turut berkongsi hasil ciptaannya di Facebook.

“Apa yang saya cari daripada platform ini adalah maklum balas berharga – untuk melihat cara orang menghargai dan respons terhadap hasil ciptaan saya,” katanya.


Kembang kemahiran

Walaupun pesanan diterima bagi hasil kraf barang kemas separa berharga dan tasbih membuatkan Yahya sentiasa sibuk, ia tidak menghalang untuk beliau terus mengasah kreativiti mendambakan sesuatu lebih mencabar.

“Saya selalu ingin mencuba kraf kulit, tetapi tidak mempunyai melakukannya. Lagipun tidak tahu dari mana hendak mula,” katanya.

Pengembaraan beliau dalam kemahiran kraf kulit bermula apabila mendapati rakan lamanya, Mazlan Abdullah memiliki kemahiran dalam seni buatan tangan tersebut.

"Kami telah mengenali antara satu sama lain selama bertahun-tahun, tetapi saya tidak pernah tahu dia mampu membuat kerja barangan kulit.

"Justeru, saya minta dia ajar dan pada masa sama melihat seseorang menjual bahan kulit di Facebook, jadi saya membeli beberapa unit," kongsi Yahya.

Walau bagaimanapun, ia tidak bermula dengan segera.

Disebabkan jadual yang padat, pekerjaan itu hanya diceburinya selepas setahun kedua-dua rakan baik terbabit kembali berhubung.

Memandangkan Mazlan menetap di Sekinchan, Yahya menempuh perjalanan hampir 200km ke sana setiap dua minggu bermula awal tahun lalu untuk belajar secara langsung dalam teknik asas memotong dan menjahit selama beberapa bulan.

“Sela-sela antara waktu lawatan tersebut, saya akan menghubungi Mazlan untuk mendapatkan bimbingan atau petua setiap kali menghadapi kesukaran,” katanya.

Sejak itu, Yahya menghasilkan pelbagai barangan kulit termasuk tali jam tangan, lanyard, pemegang pen, penanda buku, tali pinggang, rantai kunci dan dompet.


"Saya suka membuat produk kecil yang mampu dibeli orang ramai," katanya sambil menambah beliau mendapat inspirasi daripada dalam talian, permintaan rakan dan kreativiti sendiri.

Walaupun seronok 'menguasai' kedua-dua kraf itu, Yahya mendapati kraf kulit lebih mencabar, sekali gus memberikan kepuasan lebih tinggi.

"Medium yang berbeza mempunyai cabaran tersendiri.

“Kerja manik agak mudah, manakala dengan kulit, anda bermula dari sifar – (sekeping) kulit biasa, memotong, kemudian memasang. Tidak boleh tergesa-gesa,” jelasnya.

Namun, beliau percaya kedua-dua hobi tersebut membantunya kekal fokus, berwaspada dari segi mental dan tajamkan kemahiran menyelesaikan masalah.

"Kraf membuatkan saya sentiasa bersemangat, mempelajari teknik dan idea baharu dan kekal kreatif," katanya sambil menambah bahawa hobi tersebut adalah cara terbaik untuk beliau terus aktif dalam kehidupan seharian.

Beliau turut sempat menitipkan nasihat buat mana-mana individu yang mahu memulakan hobi baharu.

"Lakukan apa yang anda suka dan nikmatinya.

"Bercakap mengenainya dengan rakan anda kerana interaksi akan memberikan semangat baharu kepada kerja yang anda lakukan," jelasnya. — The Star/ZALINA MOHD SOM


Sumber: Majoriti

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-3-2025 10:18 AM GMT+8 , Processed in 0.525964 second(s), 10 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list