40 individu cacat penglihatan gembira terima persalinan lengkap baju raya
Oleh Nur Izzati - Mac 8, 2025 @ 1:13pm

Pengarah Urusan Nasmir Holding Sdn Bhd, Datuk Kadhar Shah Abdul Razak (kanan) menyantuni golongan cacat penglihatan dengan membelikan mereka baju raya. - Foto NSTP/Nur Izzati Mohamad
BUKIT MERTAJAM: Tiada kata mampu diungkapkan 40 individu yang mempunyai masalah penglihatan, selain rasa syukur dan terharu apabila mereka selama lima tahun berturut-turut menerima sumbangan persalinan lengkap baju raya.
Hamid Basri, 44, dan isterinya, Intan Norfazalina Inaini, 39, berkata meskipun perayaan disambut sederhana seperti kebiasaannya, namun mereka tetap tidak sabar untuk menyarung pakaian baharu ketika pagi Aidilfitri nanti.
Suami isteri yang mendirikan rumahtangga sejak 10 tahun lalu dan menetap di Flat Desa Wawasan, di sini akan beraya di kampung halaman mereka di Perak.
Menurut Hamid, dia dan isterinya terharu dan bersyukur apabila mereka berdua sentiasa berada dalam senarai penerima sumbangan baju raya.
"Ini tahun kelima kami dapat sumbangan untuk beli baju raya yang kami berterima kasih sangat-sangat kerana tidak pernah melupakan kami," katanya ketika ditemui pemberita di sebuah pasaraya besar di Jalan Baru, di sini, semalam.
Terdahulu, Hamid dan isterinya bersama 38 lagi individu yang mempunyai masalah penglihatan dibawa ke pasar raya berkenaan oleh syarikat Nasmir Holding Sdn Bhd untuk membeli pakaian raya.
Jelas Hamid, dia tidak mampu melihat sejak berusia tujuh tahun kerana demam panas manakala isterinya pula berdepan situasi sama sejak lahir.
"Kami tidak mempunyai anak dan kami hidup dengan pendapatan saya menjadi penyanyi busking di pasar malam, manakala isteri berniaga kecil-kecilan di rumah," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Nasmir Holding Sdn Bhd, Datuk Kadhar Shah Abdul Razak, berkata pihaknya melalui Yayasan Al Nasmir dan Nash Bistro sekali lagi melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan menyantuni 40 individu dari Pertubuhan Cacat Penglihatan Malaysia.
"Ini sudah menjadi program tradisi setiap kali Ramadan yang kita akan menyantuni pelbagai lapisan masyarakat terdiri daripada orang kurang upaya (OKU), anak tahfiz dan fakir miskin.
"Mereka ini dipilih hasil pencarian pihak yayasan sendiri yang telah turun melakukan penyiasatan terlebih dahulu sebelum bantuan dihulurkan.
"Dalam program pemberian baju raya ini, ia bukan sahaja untuk mereka tetapi kita juga membelikan baju raya kepada anak-anak mereka. Matlamat kita adalah selain mahu menggembirakan anak kita di rumah, biarlah mereka juga merasai perkara yang sama," katanya.
Jelasnya, selain pemberian baju raya, pihaknya turut menyampaikan sumbangan duit raya dan juadah berbuka puasa.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/03/1369982/40-individu-cacat-penglihatan-gembira-terima-persalinan-lengkap-baju
|