SERAMAI 10 OKT cedera selepas lori dinaiki terbalik di simpang empat lampu isyarat Jalan Seremban-Tampin, berhampiran Pekan Rembau. FOTO Ahmad Hasbi
Rembau: Seramai 10 orang kena tuduh (OKT) cedera selepas lori dinaiki terbalik di simpang empat lampu isyarat, Jalan Seremban-Tampin, berhampiran Pekan Rembau di sini, pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, kejadian jam 9.40 pagi itu berlaku ketika lori berkenaan dalam perjalanan dari Penjara Seremban menuju ke Mahkamah Rembau, di sini.
"OKT bersama lima anggota pengiring dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mahu ke Mahkamah Rembau untuk menghidupkan waran menahan.
"Namun ketika membelok ke kanan jalan di lokasi, lori itu dikatakan hilang kawalan dan terbalik lalu menyebabkan empat OKT cedera, manakala enam lagi mengalami luka ringan," katanya, hari ini.
Beliau berkata, OKT yang cedera dibawa ke Hospital Rembau menggunakan ambulans bersama dua anggota pengiring serta eskot MPV untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, susulan kejadian berkenaan, Cawangan Pengawal Pengiring Ibu Pejabat Polis (IPD) Rembau dan Trafik IPD Rembau hadir ke tempat kejadian untuk memberi bantuan awal.
|