Georgetown: Keterangan beberapa individu sudah diambil berhubung kejadian remaja perempuan berusia 15 tahun yang terjatuh dari tingkat 10 kondominium di Gelugor di sini, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya sudah merakam keterangan empat individu termasuk ahli keluarga mangsa, guru dan rakan sekolah bagi membantu siasatan.
"Berdasarkan rakaman keterangan mereka, tiada sebarang unsur negatif terhadap mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Timur Laut, hari ini.
Abdul Rozak berkata, siasatan masih dijalankan bagi menentukan punca sebenar kejadian itu.
"Polis masih menunggu untuk mendapatkan keterangan mangsa.
Remaja itu belum sedarkan diri serta masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
"Sehubungan itu, orang ramai dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis," katanya.
Ahad lalu, Harian Metro melaporkan mangsa dilaporkan
terjatuhdari bilik tidur di tingkat 10 sebelum ditemukan dalam keadaan terbaring di tingkat tujuh kondominium berkenaan.
Impak kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan dihantar ke HPP untuk rawatan.