Post Last Edit by Nadia90 at 3-12-2011 20:55
Teks oleh Syafiqah Jalal Emel: [email protected] Foto oleh Mazlan Yunos Photography
KUALA LUMPUR, 30 NOVEMBER2011: Setelah dua bulan melayari bahtera sebagai pasangan suami isteri, pelakon Memey Suhaiza, 23, akui kehidupannya lebih tenang dan bahagia disamping suami tercinta, Norman Hakim, 35.
Malah, Memey berkata dia kini lebih bebas bermesra dan bermanja dengan suaminya tanpa menghiraukan kata orang lain lagi seperti yang telah dirasainya sebelum ini.
"Alhamdulilah, terus-terang kini saya rasa sangat tenang dan bebas dengan kehidupan saya. Lega dan puas rasanya bila dapat bermesra dan bermanja dengan Norman dengan tenang.
"Saya sudah tidak perlu memikirkan apa orang mahu cakap tentang diri saya kerana kami kini sudah sah sebagai suami isteri.
"Malah, saya kini menjalani kehidupan biasa sebagai seorang isteri seperti memasak untuk suami dan juga menguruskan hal rumahtangga," katanya yang ditemui selepas pelancaran Pameran Busana Perkahwinan Mutiara di Muzium Negara, petang semalam.
Sungguh pun begitu kebahagiaan sebenar berumahtangga belum dapat dikecapai sepenuhnya, apabila dia dan suami sudah pun terpaksa berjauhan selama sebulan kerana Memey menjalani penggambaran dua drama bersiri iaitu Layar Impian dan Bila Waktu Menjemputmu untuk RTM di Semporna, Sabah.
"Mungkin inilah pengorbanan saya untuk mencari rezeki. Bayangkan saya hanya cuti kahwin selama seminggu sebelum menjalani penggambaran drama TV3, Nilapura di Ipoh.
"Selepas tamat sahaja penggambaran Nilapura, saya terus sambung penggambaran di Semporna iaitu sejak 2 November lalu.
"Jika nak ikutkan, inilah kali pertama saya berjauhan dengan Norman dalam jangka masa yang agak lama. Sebelum kahwin pun, kami tak pernah berjauhan seperti ini.
"Pada mulanya, dia agak keberatan untuk melepaskan saya, namun saya sendiri yang terlalu mahu jayakan drama ini. Lepas lama dipujuk, akhirnya dia benarkan juga saya pergi," jelasnya.
Namun begitu, Memey akui pada awalnya dia tidak dapat menahan sedih apabila terpaksa berjauhan dalam jangaka masa yang lama.
"Saya sedih hingga menangis pada mulanya untuk membiasakan diri bila berjauhan dengannya. Masuk minggu kedua baru saya boleh biasakan diri dan cuba menyibukkan diri dengan kerja di sana.
"Dalam masa yang sama juga, saya kasihan padanya yang terpaksa bersendiri kerana tiada siapa yang hendak uruskan makan pakainya. "Namun, saya beryukur kerana dia sangat memahami kerja saya," luahnya.
Memey yang bakal menamatkan penggambarannya di Semporna pada 5 Disember ini mengakui dia kini merancang untuk menimang cahaya mata tahun hadapan.
"Kami memang merancang. Mungkin dalam setahun dua, tapi bukan dalam masa terdekat ini. Namun semua itu bergantung kepada rezeki Tuhan," katanya. Memey dan Norman bakal ke Paris untuk meluangkan masa berbulan madu pada penghujang bulan Disember ini.
- Murai |