sibuk bekerja menghalang Dazrin mencari pasangan hidup
Setiap kali penulis bertandang ke lokasi di mana aktor ini turut berada, pasti ada sahaja peminatnya yang hadir dan mula berteriak saat bertemu dengan lelaki bernama Dazrin Kamarudin. Malah, ketika berada di siaran salah satu program realiti melibatkan dirinya dan artis-artis lain termasuk Aaron Aziz, Jehan Miskin dan Dafi, hanya peminat Dazrin sahaja yang kelihatan bersungguh membawa sepanduk dan sebagainya. Ia adalah sesuatu yang baik bagi Dazrin namun di sebalik sambutan fanatik yang diberikan oleh kelab peminatnya itu, ada yang mengatakan aktor ini semakin berubah dan berhidung tinggi. Menafikan apa yang diperkatakan oleh masyarakat itu, menurut Dazrin, dia masih seperti dulu seperti mana saat pertama kali berada dalam industri seni. "Tidak logik sebenarnya untuk memperkatakan perkara sebegitu. Saya lebih kenal siapa saya dan Alhamdulillah, sehingga kini, saya cuba untuk memuaskan hati semua pihak yang berada di keliling saya. "Bagi saya, kita tidak sepatutnya mendengar daripada orang lain tentang diri sesiapa sahaja. Malah tidak adil sekiranya kita bercakap tentang perangai seseorang yang kita tidak kenal. "Bukanlah saya mahu marah atau sebagainya, tetapi bukankah lebih baik jika orang itu kenal diri saya dulu sebelum bercakap sesuatu mengenai saya," jelasnya. Tambah Dazrin, mungkin berita itu tersebar ketika dirinya terlalu sibuk sehingga tidak mengendahkan perkara disekelilingnya sehingga ada yang membuat kesimpulan tentang dirinya. "Mungkin ada orang yang nampak saya seakan sombong tetapi sebenarnya saya sedang sibuk ketika itu. "Maklumlah, kita kerja bukan mengikut waktu pejabat. Ada kalanya bekerja daripada pagi hingga malam dan sebagai manusia biasa, saya juga mempunyai rasa penat dan disebabkan itu ada yang melihat saya seperti sudah sombong atau sebagainya," katanya. Tambahnya, dalam masa tiga tahun penglibatannya dalam industri seni, dia bersyukur dirinya semakin dikenali kerana lakonannya dan bukan kerana gosip atau kontroversi melibatkan hal peribadinya. "Alhamdulilllah, setakat ini belum ada lagi gosip-gosip melibat diri saya dan saya bersyukur dengannya. "Lagipun kurangnya waktu kontroversi kerana saya lebih suka untuk berada di rumah berbanding berada di luar. Kebanyakan masa saya akan diluangkan di kediaman saya," kata Dazrin.
Tidak mudah mengalah Penglibatan aktor berwajah Jepun ini pada mulanya tidaklah begitu menonjol dalam dunia lakonan menerusi filem Seru tidaklah memberi impak yang besar pada dirinya. Namun, erti tidak putus asa terus disematkan dalam hati sehinggalah dia ditawarkan pelbagai watak menerusi drama dan juga filem. Kini, setelah tiga tahun lebih bergelar seorang pelakon dalam industri seni tanah air, namanya terus meniti di bibir peminat dan dia kini semakin dikenali. Apatah lagi, menerusi salah satu drama yang disiarkan di stesen televisyen berbayar tanah air, dia diberi peluang memegang watak utama dan sekali gus menyerlahkan lagi dirinya. Tidak mudah berpuas hati dengan apa dicapainya sekarang, bagi Dazrin, masih banyak yang perlu dipelajarinya untuk bergelar seorang pelakon yang hebat. "Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang lakonan semakin bertambah, malah jadual saya pun semakin padat dan bagi saya, ia memberi ruang kepada saya untuk terus meningkatkan diri dalam dunia lakonan. "Bukan bermakna banyak tawaran berlakon itu kita sudah bagus, tetapi bagi saya, dengan tawaran lakonan yang diberi kepada saya, ia adalah peluang untuk belajar. "Ruang untuk menimba ilmu ada banyak sebenarnya. Malah, bagi saya, bagi setiap watak yang diberikan, saya akan cuba untuk menyesuaikan diri secepat mungkin," jelas Dazrin. Tambah aktor yang sudah mencecah usia 25 tahun ini, kritikan masyarakat terhadap dirinya tidak sedikit pun mengecilkan hatinya sebaliknya menjadikan dia semakin kuat untuk terus memperbaiki dirinya. "Jika ada yang mengatakan lakonan saya tidak bermutu atau berkata wajah saya tidak sesuai untuk memegang watak utama, bagi saya ia bukanlah satu masalah. "Bagi saya, semua kata-kata itu menguatkan lagi semangat saya untuk terus memperbaiki lakonan saya supaya orang menerima saya dan berpuas hati dengan lakonan saya,"
|