Muar: Seorang peniaga buah berusia 41 tahun berdepan hukuman gantung sampai mati mandatori selepas polis menemui dadah jenis heroin dan syabu di dalam kereta BMW dipandunya. Timbalan Ketua Polis Daerah Muar Superintendan Sahadan Jaafar berkata, peniaga buah itu bersama seorang lagi rakannya berusia 34 tahun ditahan di sekatan jalan raya sempena Ops Tapis di laluan pintasan berhampiran jambatan kedua Muar di sini, jam 11.30 malam, 12 Oktober lalu.
“Pemeriksaan di dalam kereta menemui heroin dan syabu di bawah tempat duduk pemandu.
“Heroin seberat 73.6 gram itu dianggarkan bernilai RM2,200 manakala syabu seberat 50.16 gram pula bernilai RM12,540,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, semalam.
Menurut Sahadan, polis turut menemui wang tunai RM8,019 di dalam beg kecil dibawa peniaga itu.
Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan wang ditemui adalah hasil jualan dadah terbabit.
“Kami percaya, ketika ditahan, kedua-dua suspek dalam perjalanan menghantar dadah itu kepada pelanggan,” katanya.
|