|
Meskipun sudah sedekad membina nama di
pentas nyanyian, namun penyanyi Taufik
Batisah masih menganggap dirinya terlalu
baru dalam industri seni.
Penghibur terkenal kelahiran Singapura ini
mengakui dia seorang yang cukup
bersederhana dalam kehidupan. Katanya, dia
tidak pernah baerasa dirinya sudah dikenali
ramai.
Ditemui baru-baru ini, Taufik, 32, berkata,
populariti yang dinikmatinya kini adalah
rezeki ditetapkan Tuhan. Jadi, dia perlu
sentiasa bersyukur.
"Memang cara saya suka bersederhana.
Justeru, saya tidak pernah berasakan diri
begitu popular dan dikenali peminat meskipun
sudah 10 tahun aktif menyanyi.
"Saya sentiasa berpegang kepada nasihat ibu
bapa saya supaya ingatkan Tuhan dan
bersyukur dengan nikmat diperoleh. Jangan
cepat mendabik dada," katanya.
Taufik yang kini menarik perhatian ramai
menerusi single terbarunya, Awak Kat Mana
itu turut memaklumkan dia tidak sangka lagu
itu diminati.
"Lagu Awak Kat Mana ini saya cipta sekadar
untuk hiburan semata-mata. Saya
menghasilkan lagu ini berdasarkan inspirasi
percintaan rakan yang sering dikongkong
kekasih.
"Bahkan, pada asalnya saya juga hanya mahu
mengejek rakan dengan pertanyaan 'awak kat
mana' di laman sosial. Namun, tak sangka
akhirnya ia menjadi 'viral'," katanya.
Menurut Taufik lagi, niat suka-suka membuat
video pertanyaan 'awak kat mana' dan dimuat
naik ke laman Instagram miliknya untuk
hiburan itu tidak diduga menjadi ikutan dan
menarik perhatian ramai.
Bakal muncul dengan album terbarunya, Fique
tidak lama lagi, Taufik berkata, 12 lagu
dimuatkan termasuk Awak Kat Mana. Katanya,
dia juga tidak mengambil masa lama
menghasilkan lagu itu.
"Ini semua pada saya adalah rezeki. Pada
kala saya memperuntukkan masa bertahun
untuk menyiapkan satu album, inspirasi untuk
lagu Awak Kat Mana pula diperoleh dalam
masa kurang satu jam.
"Bahkan, paling membuatkan saya gembira
dan terhibur apabila lagu Awak Kat Mana ini
turut menjadi siulan ramai. Di laman sosial
saja, lagu ini menjadi viral dan orang ramai
juga menghasilkan parodi," katanya.
Kata Taufiq lagi, dia juga tidak kisah apabila
lagu Awak Kat Mana dijadikan bahan jenaka.
Katanya, dia seorang yang bersikap terbuka
dan menerima apa saja tanggapan
masyarakat.
Berbicara mengenai sisi peribadinya, Taufik
ternyata kurang selesa berkongsi kisah
percintaannya. Katanya, dia sudah begitu
gembira dapat berkongsi perkembangan
kerjayanya dengan peminat.
"Sama ada hati saya sudah dimiliki atau
sebaliknya, biarlah rahsia. Saya fikir perkara
ini tidak perlulah dikongsi secara terbuka
dengan peminat.
"Cukuplah peminat hanya mengetahui
perkembangan karier nyanyian saya dan
mereka terus setia memberikan sokongan. Itu
sudah memadai," katanya.
Pernah bercadang untuk berhijrah ke negara
ini bagi meluaskan karier seninya, Taufik
berkata, impian itu terpaksa dipadamkan
selepas mengambil kira keselesaan ibu
tersayang. Kata Taufik, ibunya lebih selesa
tinggal di Singapura.
Menurut Taufik yang banyak mendapat
pengiktirafan pada Anugerah Planet Muzik
(APM) itu, selain fokus pada karier,
semestinya ibu bapa dan keluarga adalah
keutamaan. Katanya, ibu bapa adalah tulang
belakang kejayaan seorang anak. |
|