Foto: Sinar Harian
PELAKSANAAN cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada April tahun depan akan memberi kesan kepada kenaikan harga telefon pintar.
Ketua Komputer Riba Mudah Alih dan Pengendalian Pintar, Acer Sales and Services Sdn Bhd, Johnson Seet berkata, bagi peringkat awal pelaksanaan GST akan dapat dilihat kenaikan harga peranti mudah alih sebanyak enam peratus.
"Bagaimanapun, kenaikan itu bergantung kepada harga pesaing peranti dan telefon mudah alih dalam pasaran. Setakat ini, kami masih menawarkan harga telefon pintar yang berpatutan dengan pengenalan tiga lagi model baharu hari ini (semalam)," katanya selepas pelancaran tiga model telefon pintar Acer di Kuala Lumpur, semalam.
Acer Malaysia memperkenalkan Acer Liquid X1, Liquid Jade dan Liquid Z500 yang disasarkan kepada golongan pelajar, warga asing dan generasi muda.
Menurutnya, ketiga-tiga model itu didatangkan dengan penambahbaikan terkini dan menggunakan pemprosesan Android KitKat 4.4.
Katanya, ketiga-tiga model itu telah diperkenalkan di Taiwan pada awal tahun ini dan menerima maklum balas yang positif berhubung ciri-ciri baharu dan reka bentuk yang menarik.
Menerusi pengenalan tiga model baharu itu, Acer Malaysia turut menyasarkan peningkatan 10 peratus jualan daripada penguasaan pasaran Acer menjelang 2015.
Acer Liquid X1, Liquid Jade dan Liquid Z500 boleh didapati di semua pengedar sah Acer di seluruh negara pada harga RM999, RM 799 dan RM499.
- Sinar Harian, 20 Nov 2014
Last edited by Mary_jane on 21-11-2014 12:25 AM
|