|
IPOH 23 Sept. – Gara-gara berebut daging babi hutan yang diburu, hayat seorang kelindan lori akan berakhir di tali gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendapatinya bersalah kerana membunuh jirannya kira-kira lima tahun lalu.
M. Devinthiran, 29, disabitkan atas tuduhan bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, membunuh K. Perumal, 32, di depan rumah mangsa bernombor A11, Ba­hagian Sepong, Ladang Sungai Samak, Ulu Bernam, Hilir Perak di antara pukul 9 malam dan 9.45 malam, 14 November 2010.
Pesuruhjaya Kehakiman, S. M. Komathy Suppiah memutuskan de­mikian setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh pada akhir kes pembelaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd. Jeffrey Ong manakala tertuduh diwakili peguam, R. Vikeswaran.
Pendakwaan terhadap Devinthiran dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama Seksyen 304 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan asal, De­vinthiran didakwa melakukan kesalahan tersebut bersama-sama adik­nya, M. Thanasegaran, tetapi lelaki berusia 26 tahun itu masih gagal dikesan.
Sebelum ini, semasa perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani pada Ogos tahun lalu, kedua-dua tertuduh telah dilepas dan dibebaskan di akhir kes pendakwaan.
Bagaimanapun, selepas pendak­wa raya membuat rayuan di Mah­ka­mah Rayuan, kedua-dua tertuduh diperintahkan membela diri, tetapi hanya Devinthiran yang muncul manakala Thanasegaran gagal hadir.
Dalam kejadian kira-kira lima tahun lalu, Perumal mati dalam per­jalanan ke klinik setelah ditikam dengan pisau lipat oleh salah seorang daripada kedua-dua tertuduh.
Kejadian itu berlaku kerana De­vinthiran dan Thanasegaran tidak berpuas hati dengan pengagihan daging babi hutan yang diburu di hutan berhampiran ladang tempat mereka tinggal.
|
|