STOCKHOLM 24 Mac – Dalam usaha mewujudkan kelainan dan menarik perhatian pelanggan, sebuah syarikat kain Sweden, Smart Textiles menghasilkan alas meja yang boleh mengeluarkan bunyi muzik.
Fabrik pintar yang dihasilkan oleh pereka, Li Guo dan Mats Johansson tersebut mempunyai kit dram dan papan nada yang apabila ditekan boleh mengeluarkan muzik. Portal Oddity Central melaporkan, Johansson sangat meminati muzik, manakala Guo yang memiliki ijazah kedoktoran dalam bidang sensor tekstil sedang menyelidik cara untuk menggabungkan dua e­lemen berkenaan.
Gabungan mereka berdua menghasilkan alas meja berirama itu.
“Kami mahu menggabungkan bunyi dan fabrik selain cuba menghasilkan satu ciptaan sensor tekstil yang menyeronokkan.
“Oleh kerana saya meminati muzik, kami cuba menghasilkan kain berirama. Apa yang menarik, kami menggunakan teknologi pembuatan tekstil sedia ada,” kata Johansson. Jelasnya, mereka mencetak imej piano pada sehelai kain sebelum membuat dram pada kain sama menggunakan fabrik bersalut plastik.
“Kemudian kami menggunakan jahitan sebagai penghubung, jadi semua teknologi ini adalah perkara yang biasa digunakan dalam pembuatan tekstil,’’ katanya. Menurut beliau, cabaran yang dihadapi mereka adalah menggabungkan fabrik lembut dengan komponen elektronik yang keras termasuk wayar dan bateri.
Guo pula berkata, pembuatan alas meja itu masih diperingkat awal dan mereka percaya teknologi sensor boleh digunakan untuk aplikasi lain.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/ ... thash.IlFQdE4L.dpuf
|