|
LONDON: Chelsea kini melancarkan kempen meninjau pemain bintang dari Asia untuk dimasukkan dalam skuad itu seperti yang dilakukan beberapa kelab saingannya.
Kempen pencarian itu mensasarkan bintang remaja yang mempunyai latar belakang Britain untuk diasuh dalam akademi kelab Liga Perdana Inggeris itu.
Beberapa pemain berketurunan British-Asia ketika ini sudah menceburi karier profesional bola sepak di Britain dengan jayanya.
Pada 2004, Fulham menerokai langkah mengambil pemain Asia, Zesh Rehman yang menjadi pemain pertama beraksi di Liga Perdana.
Chelsea, yang kini sudah mempunyai dua pemain British-Asia dalam akademinya, akan mengadakan sesi latihan terbuka di Cobham pada Mei depan dalam usaha memilih pemain yang terbaik.
Sesi latihan terbuka itu adalah untuk pemain berusia bawah 14 tahun dengan sasaran pemain dari India, Pakistan, Sri Lanka dan Bangladesh.
"Kami menyedari bintang Asia dalam kelab dan liga adalah kurang dan langkah ini boleh memberi peluang dan minat remaja Asian menyertai liga di sini," kata bekas pertahanan Chelsea, Graeme Le Saux, semalam.
Perunding Persatuan Bola Sepak Inggeris, Brendon Batson berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan langkah mengambil pemain Asia bagi memecahkan tradisi selama ini yang lebih kepada komuniti sendiri.
"Usaha Chelsea untuk menawarkan kepada pemain Asia menyertai kelab satu usaha yang baik dan ini menjadikan arena bola sepak disertai semua komuniti," katanya. - Reuters |
|