|
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh (tengah) bersama Timbalan Pengarah JPJ Kelantan, Nik Azhan Ab Hadi (kiri) memeriksa seorang lelaki usia 30 an dua anaknya. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Kota Bharu: "Saya tak tahu ada operasi, lagi pun rumah saya sekitar kawasan ini sahaja," itu alasan diberikan seorang bapa membonceng dua anak kecil tanpa dipakaikan topi keledar apabila ditahan untuk pemeriksaan dalam operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini, malam kelmarin.
Lelaki berusia 30-an itu berkata, dia menyedari bahaya terhadap dua anaknya berusia tiga dan lima tahun apabila terbabit dalam kemalangan, tetapi beranggapan keluar seketika untuk membeli makanan di kawasan rumahnya.
"Saya berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sebegini demi keselamatan anak-anak, selain tidak akan mengambil remeh soal keselamatan di jalan raya bagi mengelak berlaku insiden tidak diingini.
"Anak-anak saya ada topi keledar sendiri, saya yang silap tidak memakaikannya kepada mereka," katanya ketika ditemui selepas menerima notis saman dalam Op Tahun Baharu Cina (TBC) 2022, di sini.
Sementara itu, dalam operasi sama, lima beranak warga Mesir turut ditahan kerana terlupa membawa lesen memandu serta pasport mereka.
Suami isteri berusia 33 dan 37 tahun itu mengakui terlupa membawa dokumen penting menyebabkan mereka serta tiga anak berusia empat sehingga sembilan tahun ditahan untuk pemeriksaan.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah JPJ Kelantan, Nik Azhan Ab Hadi berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang jalan raya, selain jika gagal menunjukkan rasa tidak bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak.
|
|