View: 532|Reply: 0
|
[Negeri Sembilan]
Mesin buang sisik ikan pelajar KV dapat permintaan
[Copy link]
|
|
MUHAMMAD Aminuddin menunjukkan mesin buang sisik ikan Fish Scale Remover 4.0 rekaan pelajar Kolej Vokasional (KV) Ampangan. FOTO Ahmad Hasbi
Seremban: Jimatkan masa, ikan tidak rosak, malah sisik ikan juga tidak bersepah. Itu kelebihan mesin buang sisik ikan yang direka guru bersama kumpulan pelajar Kolej Vokasional (KV) Ampangan, di sini.
Guru Kimpalan KV Ampangan, Muhammad Aminuddin Mohammed Nor berkata, projek dinamakan Fish Scale Remover itu bermula pada 2018 oleh tiga pelajarnya sebagai kerja projek tahun akhir.
"Pada peringkat awal mesin ini banyak menggunakan kimpalan dan reka bentuknya tidak seperti hari ini.
"Selepas banyak inovasi dan baik pulih dari segi fungsi yang lebih canggih, akhirnya ini reka bentuk dan fungsi terkini yang diberi nama Fish Scale Remover 4.0," katanya ketika ditemui Harian Metro baru-baru ini.
Muhammad Aminuddin berkata, edisi terkini mesin itu menggunakan besi tahan karat sepenuhnya yang mana ia lebih selamat dan tahan lebih lama.
"Malah, kami menambah alat kawalan untuk mengawal masa dan kelajuan yang diinginkan pengguna. Mesin ini mampu membuang sisik semua jenis ikan sama ada ikan laut atau ikan air tawar tanpa merosakkan ikan itu.
"Jika dahulu kami menggunakan motor berkuasa rendah, namun kini ia sudah ditambah baik dengan motor yang menggunakan kuasa elektrik dan boleh digunakan pada bila-bila masa tanpa perlu pengecasan," katanya.
Dia berkata, mesin ini sangat sesuai digunakan bagi peniaga ikan atau peniaga kedai makan kerana ia dapat menjimatkan masa untuk membuang sisik.
"Sudah banyak ujian dilakukan dan hasilnya sangat bagus yang mana ikan tidak rosak kecuali ikan yang dimasukkan itu memang tidak segar atau sudah busuk. Mesin ini juga boleh dialihkan pada bila-bila masa.
"Persekitaran juga bersih kerana sisik dikumpulkan di dalam mesin sebelum ia dibuang. Apa yang paling penting ia menjimatkan masa bagi membuang sisik ikan dalam jumlah yang banyak," katanya.
Guru kimpalan itu berkata, dia bangga kerana hasil rekaan pelajar KV Ampangan dapat diinovasikan dan ditambah baik sehingga ada beberapa pihak yang berminat untuk mengkomersialkan mesin itu.
"Sehingga kini mesin sudah masuk ke beberapa pertandingan dan pameran inovasi serta reka bentuk. Kami pernah memenangi Best Award International Innovation Arsvot Malaysia 2021.
"Juga pernah mendapat emas dalam Innovation Development Through Educational Activities 2021 dan Eureka Innovation Exhibition 2019 selain tempat pertama pada Stem Young Innovation, ," katanya.
Menurutnya, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan hak cipta bagi mesin itu sebelum dipasarkan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... kv-dapat-permintaan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|